BNM, bank disaran kaji keputusan tidak lanjutkan moratorium

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua bank di negara ini mengkaji semula keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium kepada peminjam.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, inilah masanya bank perlu berkorban supaya pelanggan mereka tidak terjejas dan masih mampu untuk mengembalikan keuntungan berbilion-bilion kepada mereka pada masa depan apabila krisis koronavirus (Covid-19) berakhir.

Katanya, beliau bimbang banyak syarikat dan peminjam bank tidak mampu membayar ansuran bulanan apabila moratorium tamat sehingga terpaksa diisytiharkan muflis.

"Jika bank tidak mampu melanjutkan lagi moratorium untuk bayaran ansuran bagi kedua-dua pokok dan faedah pinjaman, pertimbangkanlah untuk memberi tempoh di mana peminjam cuma perlu bayar ansuran bulanan bagi bahagian faedah sahaja dan tidak melibatkan jumlah prinsipal.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu lebih bertegas dan tidak tunduk kepada kemahuan bank-bank sahaja," katanya dalam perbahasan menjunjung Titah Diraja di Parlimen hari ini.

Najib berkata, sebab utama bank-bank mahu bayaran ansuran disambung semula kerana mereka mahukan bayaran pokok atau prinsipal pinjaman dibayar agar mereka mempunyai dana untuk menyediakan pinjaman semula kepada pelanggan baharu.

"Sebaliknya jika permintaan untuk pinjaman baharu juga telah menjunam, maka tiada keperluan untuk bank memaksa pelanggan mereka membayar semula pokok atau prinsipal pinjaman," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan dan tabung-tabung amanah berkait kerajaan adalah antara pemegang saham terbesar bank-bank di Malaysia manakala seluruh industri bank adalah bawah kawalan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu faham, kerajaan memang ada kuasa yang besar ke atas bank-bank dalam Malaysia baik dari segi pemilikan saham, suntikan dana kos rendah, garis panduan bank atau undang-undang yang berkaitan.

"Sejak sekian lama bank mencatat keuntungan besar berbilion-bilion setiap tahun. Sebagai contoh jika selama ini sebuah bank biasanya membuat keuntungan sebanyak RM5 billion, tetapi tahun ini hanya mendapat RM1 bilion hingga RM2 bilion sahaja, ia tidak akan melumpuhkan sistem kewangan negara," katanya.