Covid-19: 868,394 individu disampel

Malaysia telah menjalankan 1,577,417 ujian RT-PCR dan RTK-Antigen sehingga 16 Julai lalu. - Foto Bernama
Malaysia telah menjalankan 1,577,417 ujian RT-PCR dan RTK-Antigen sehingga 16 Julai lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 868,394 individu telah disampel untuk Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu bersamaan dengan 27.14 individu bagi setiap 1,000 populasi.

"Jumlah ujian yang dilakukan sehingga 16 Julai, data awal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menunjukkan Malaysia menjalankan 1,577,417 ujian (RT-PCR dan RTK-Antigen)," katanya.

Menurutnya, terdapat individu yang memerlukan ujian ulangan.

"Bilangan ujian di negara kita adalah setanding dengan negara Korea Selatan," katanya.

Beliau berkata, walaupun kapasti makmal untuk persampelan sudah bertambah sehingga 37,000 sampel sehari, namun kadar positif hanya 1.05 peratus.

"Ini bermakna hampir 99 peratus keputusan ujian Covid-19 yang telah dijalankan adalah negatif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, biarpun kebelakangan ini kes harian Covid-19 adalah rendah, KKM tetap mempergiatkan aktiviti survelan bagi memastikan kes-kes Covid-19 di dalam komuniti terus dipantau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sehingga 16 Julai, secara kumulatif KKM telah melaporkan sebanyak 129 kes Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan klinikal.

"Sebanyak 15 kes positif daripada 3,174 persempelan Influenza Like Illness (ILI) manakala KKM mengambil 21,544 sampel Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan 85 disahkan positif.

"Sebanyak 66,081 persampelan prapembedahan diambil dan hanya 29 kes positif Covid-19," katanya.

Sementara itu beliau berkata, tiga kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Satu merupakan kes import melibatkan warga tempatan yang mendapat jangkitan luar negara.

"Dua kes penularan tempatan masing-masing dikesan di Depot Tahanan Imigresen Jalan Duta dan saringan sebelum memulakan kerja di Sarawak," katanya.

Pertambahan itu katanya, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 8,737 kes.

"Jumlah kes aktif yang masih menerima rawatan di hospital adalah 77 kes. Terdapat tiga pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, KKM mencatat 12 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,538.

"Tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini. Jumlah kematian berkaitan Covid-19 kekal 122 kes," katanya.