Bukan benci tapi sayang...

Zakiah terpaksa mengikat Faizal Azira bagi mengelakkannya bertindak agresif.
Zakiah terpaksa mengikat Faizal Azira bagi mengelakkannya bertindak agresif.
A
A
A

MACHANG - Bukan mak cik tak sayang anak tapi terpaksa mengikatnya demi keselamatan dia, kata Zakiah Sulaiman, 56, menceritakan keadaan anaknya di Kampung Takel Dalam, Labok, di sini.

Menurutnya, dia pernah ditendangnya di pipi sehingga berdarah telinga, dicakar, disepak namun reda keadaan itu kerana tahu anaknya tidak berniat begitu

Katanya, dia terpaksa mengikat kaki dan tangan anaknya, Faizal Azira Ajib, 24, bagi memastikan keselamatannya dan ahli keluarga yang lain sekalipun Faizal sering merayu tidak diperlakukan sedemikian.

Jelasnya, kecederaan teruk di bahagian kepala sebelum ini menyebabkan Faizal Azira berubah sikap dari seorang yang pendiam dan bersopan santun kepada panas baran.

"Dia anak yang baik, banyak membantu untuk meringankan beban kewangan keluarga selepas tamat sekolah namun baharu beberapa tahun bekerja, dia jadi begini. Selepas dia bekerja, kami banyak bergantung kepadanya demi sesuap nasi.

"Ketika kemalangan yang menimpa dirinya, Faizal dalam perjalanan ke Kuantan bersama majikan dan rakan sekerja yang lain.

"Van yang dinaiki mereka mengalami masalah brek dan berlanggar sesama sendiri dengan sebuah lagi van dari syarikat sama.

"Hanya faizal yang mengalami kecederaan parah dan terpaksa menjalani tiga pembedahan di bahagian kepala, tengkuk dan muka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Zakiah menerima kunjungan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang dipengerusikan Pui Tiong Lam.

Selain Faizal Azira, Zakiah juga terpaksa menjaga suami yang kadangkala bersikap agresif dan berubah laku selepas terkena penyakit kencing tikus sejak 16 tahun lalu.

Zakiah berkata, dengan pendapatan berniaga nasi berlauk bersama adik beradiknya di Labok, ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan susu khas dan lampin pakai buang untuk Faizal yang memerlukan lebih RM1,200 sebulan.

Katanya, susu Ensure yang bernilai RM85 setin tersebut hanya mampu bertahan selama dua hari manakala lampin pakai buang juga memerlukan kos yang tinggi apabila sering dikoyak Faizal Azira setiap kali mengamuk.

"Itu belum termasuk kos ulang alik Faizal Azira ke hospital bagi mendapat rawatan susulan yang mencecah RM300 jika menggunakan perkhidmatan ambulans dan kami terpaksa menggunakan kenderaan itu memandangkan dia cedera teruk. Mak cik juga masih mempunyai dua anak yang masih belajar.

"Anak sulung mak cik pula terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi membantu mak cik menjaga adiknya.

"Selain anak sulung, mak cik juga banyak dibantu adik beradik termasuk terpaksa menumpang di rumah mereka," katanya.

Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Zakiah di Bank CIMB bernombor 7616517675 (Zakiah Sulaiman).