Jerat sindiket pelaburan online!

Saiful Azly (dua dari kiri) menunjukkan kejayaan JSJK menumpaskan sindiket tipu pelaburan dalam talian baru-baru ini.
Saiful Azly (dua dari kiri) menunjukkan kejayaan JSJK menumpaskan sindiket tipu pelaburan dalam talian baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 13 pelaburan dalam talian yang digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pelaburan itu adalah I Rakyat Trade, IQ Option, Global Investement, Wei Jian Zhi, Olymp Trade, AA Anthony, Global Trader, People Global Network dan Rakuten Trade.

Menurutnya, selebihnya adalah Wine Exchange China, GWFX Global, Private Investment Trade Dubai (PITD) serta London Stock Exchanges (LSE).

"Kita telah kenal pasti 13 sindiket ini yang mana mereka menggunakan platform media sosial seperti Facebook, WeChat, Instagram, Telegram dan WhatsApp untuk menjerat mangsa.

"Sindiket akan menjanjikan pakej serta keuntungan yang lumayan seperti pulangan wang 13 kali ganja daripada modal yang dilaburkan selain memperoleh untung dalam tempoh masa yang singkat.

"Bagi meyakinkan mangsa, suspek akan menunjukkan jumlah keuntungan dalam platform lain," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.

Saiful Azly berkata, kemudian kononnya sebagai syarat menuntut keuntungan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran cukai seperti yuran perjanjian, bayaran kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM), cukai antarabangsa dan lain-lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, statistik bagi kes tipu pelaburan dalam talian bagi tahun ini untuk tempoh Januari sehingga 15 Julai mencatatkan 467 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM52.7 juta.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan testimonial kenyataan atau janji palsu yang ditawarkan untuk memperdaya mangsa.

"Usah melabur sekiranya trader dalam talian meminta anda untuk memasukkan wang ke akaun individu atau syarikat.

"Semak dan dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti semakmule, Alert List Bank Negara Malaysia, Security Commission dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk melabur," katanya.