Mahkamah tetap dua hari dengar rayuan Najib

Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari bermula 7 Februari ini untuk mendengar tiga rayuan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan isu interlokutori berhubung pertuduhan kes jenayahnya melibatkan dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datuk Norsharidah Awang menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu semasa prosiding pengurusan kes berkenaan yang berlangsung dalam kamar hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, yang mewakili pendakwaan, memberitahu pemberita kemudiannya bahawa rayuan berkenaan akan didengar pada pukul 2.30 petang.

Tiga rayuan tersebut berkaitan dengan permohonan Najib bagi perintah larangan untuk menghalang media membincangkan merit kes jenayahnya, permohonannya bagi mendapatkan beberapa dokumen dan pernyataan serta tindakannya mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Muhammad Izzat Fauzan berkata, alasan penghakiman dan rekod rayuan berhubung permohonan mendapatkan dokumen serta pelantikan Sulaiman sebagai ketua pendakwaan telah sedia.

Pada 31 Oktober tahun lepas, pihak-pihak yang terlibat dalam rayuan berkenaan menerima alasan penghakiman berhubung perintah larangan itu.

Najib, 65, menghadapi tujuh pertuduhan jenayah melibatkan dana milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, iaitu membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah menetapkan 12 Februari ini bagi perbicaraan kes tersebut.

Pada 10 Ogos tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib bagi perintah larangan itu selepas mendapati permohonan tersebut tidak kukuh.

Mahkamah Tinggi pada 19 Disember tahun lepas, menolak permohonan Najib untuk mendapatkan surat kebenaran bagi pelantikan Sulaiman untuk mengetuai pendakwaan dalam kes SRC International.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed manakala Najib diwakili peguam Syahirah Hanapiah dan Farhan Read. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia