Kisah penunggang motosikal dan Lebuhraya Persekutuan

A
A
A

SEBAIK Tol Sungai Rasau, Klang dan Tol Batu Tiga, di Shah Alam dimansuhkan secara rasmi pada 1 Januari 2018, penunggang motosikal yang dahulunya mengikuti lorong khas mula beralih ke laluan utama kenderaan.

Adakah penunggang motosikal lebih berani apabila tol sudah tiada? Adakah penunggang motosikal merasakan palang tol yang sebelum ini berfungsi untuk pengguna kenderaan bermotor lain membuat bayaran sudah tiada bermakna tidak perlu lagi menggunakan laluan khas motosikal?

Setiap hari apabila Merak Jalanan hendak ke pejabat di Seksyen 15 Shah Alam, pasti ada sahaja penunggang motosikal yang datang dari arah belakang dengan laju.

Jantung Merak Jalanan bukanlah kuat sangat kalau seminggu lima kali asyik terkejut apabila melalui laluan tersebut.

Sengaja Merak Jalanan perhatikan gelagat penunggang motosikal yang bersaing di jalan raya bersama kenderaan yang lebih besar daripadanya.

Bersilang-silang dua roda itu berputar di jalan raya terutama ketika waktu puncak. Pelik lah, kalau sudah tahu waktu puncak jalan utama padat dengan kenderaan lain, kenapa penunggang motosikal tidak menggunakan sahaja laluan khas?

Ini tidak, sama-sama berebut dengan pemandu lain terutama pemandu kereta.

Banyak kali Merak Jalanan beristighfar kegerunan melihat beberapa insiden yang nyaris menyebabkan pelanggaran kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Namun, di suatu sudut yang lain pula, masih terdapat ramai yang masih menggunakan laluan khas untuk motosikal.

Nampaknya mereka ini benar-benar faham mengapa dua tol itu dimansuhkan.

Ia dimansuhkan selepas 24 tahun beroperasi bagi meringankan beban kira-kira 270,000 pembayar tol Lebuhraya Persekutuan yang terdiri daripada penduduk sekitar Klang dan Shah Alam.

Kritikan Merak Jalanan kali ini benar-benar ikhlas kerana mahu kita bersama-sama menjaga diri dan keselamatan demi orang-orang yang tersayang.