X

Kindly register in order to view this article
!

Isu Tabung Haji gamatkan Sidang Dewan Rakyat hari ini

MUJAHID
A
A

KUALA LUMPUR - Isu mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi tumpuan beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang bertikam lidah mengenainya sehingga menggamatkan Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, antara ahli Parlimen yang menyentuh hal berhubung institusi kewangan yang mengurus dana umat Islam itu ialah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Baharu) dan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang).

Mujahid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Lembaga Tabung Haji (TH) dibuat berdasarkan laporan audit dan dapatan siasatan bebas mengenai kedudukan kewangan TH.

Beliau turut mengemukakan laporan Jabatan Audit Negara dan dapatan siasatan bebas beberapa firma perakaunan mengenai status kewangan TH yang berakhir pada 2017.

Perkara tersebut menarik perhatian Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling), yang merupakan bekas pengerusi TH, beberapa kali bangun mencelah bagi meminta penjelasan Mujahid.

Sementara itu, Saifuddin Nasution bersetuju dengan perkara yang dibentangkan Mujahid kerana berdasarkan laporan, nilai ekuiti bagi pegangan TH telah mengalami rosot nilai.

Katanya, antara sebab perkara itu berlaku adalah kerana tiada pengkhususan pelaburan yang dilakukan TH sehingga menyebabkan kerugian.

“Tidak ada niche pelaburan, perladangan ke, perkhidmatan ke? Dia (TH) melabur semua,” katanya.

Sementara itu, Noh bersetuju dengan cadangan Abdul Azeez semalam bagi keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lepas.

Beliau berkata, isu TH itu telah berlanjutan lama dan perlu diselesaikan segera melalui penubuhan RCI.

“Perkara ini sudah berlangsung lama dah, (kedua-dua pihak) jangan main politik. Kita ketepikan fahaman politik kerana rakyat jadi mangsa (oleh perkara itu),” kata Noh.

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi jawapan bertulis dilaporkan berkata TH kini mempunyai lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion dan tidak dikuasai orang bukan Islam.

Muhyiddin memaklumkan kedudukan terkini aset TH pada 30 Jun 2020 seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78 bilion.

Persidangan bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!