X

Kindly register in order to view this article
!

Lima kes mangsa lelaki didera dikesan ketika PKP

Lima kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa lelaki berusia 18 hingga 60 tahun dikesan di Selangor sepanjang PKP. Gambar kecil: Dr Siti Mariah Mahmud
A
A

SHAH ALAM - Lima kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa lelaki dikesan berlaku di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 3 Mei lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, semua mangsa terlibat berusia 18 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, antara keganasan rumah tangga berlaku adalah melibatkan penderaan fizikal dan emosi isteri terhadap mangsa terlibat.

"Secara keseluruhan, 90 kes keganasan rumah tangga dikesan di Selangor sepanjang PKP dan lima daripadanya melibatkan mangsa lelaki.

"Biasanya lelaki tidak membuat laporan kerana dianggap tidak 'macho', dayus dan lain-lain. Kita percaya ada banyak lagi insiden seperti ini," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar di Bangunan Annex di sini hari ini.

Siti Mariah berkata, tindakan isteri yang melakukan keganasan rumah tangga dipercayai berlaku disebabkan mereka mempunyai masalah kesihatan mental.

Menurutnya, pihaknya berharap agar masyarakat tidak stereotaip dengan beranggapan keganasan rumah tangga hanya dilakukan oleh kaum lelaki sahaja.

"Bagi saya, mangsa perlu tampil kerana JKM sedia membantu malah terdapat juga khidmat kaunseling disediakan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus