X

Kindly register in order to view this article
!

MEDAC sedia inisiatif keusahawanan kepada graduan

Wan Junaidi
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melaksanakan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mewujudkan lebih banyak peluang dan inisiatif keusahawanan kepada graduan universiti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan inisiatif merentas kementerian itu akan memberi lebih manfaat kepada graduan dan bakal graduan melalui program berimpak tinggi serta bersasar.

Menurutnya, program tersebut dijangka melibatkan kira-kira 3,000 graduan pada tahun ini hingga 2021 untuk peluang menceburi perniagaan dan kebolehpasaran graduan.

“Teras Strategik 1 Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) telah menggariskan usaha bagi membudayakan keusahawanan dalam segenap lapisan masyarakat termasuklah graduan universiti bagi meningkatkan lagi minat mereka untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan kementerian adalah program perintis Technopreneurship Programs for Fresh Graduate dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

“Program ini bagi membangunkan kemahiran dan pengetahuan graduan universiti berkenaan teknologi 4.0 yang mensasarkan penyertaan 500 peserta dari kalangan graduan dan bakal graduan.

“Sehingga 9 Jun 2020, seramai 324 graduan institut pengajian tinggi (IPT) telah memberikan respon bagi mengikuti program ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai pelan tindakan kementerian untuk graduan universiti menceburi bidang keusahawanan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, inisiatif kedua adalah Program Agri Coaching & Industry Development Programme (ACID) yang menawarkan peluang latihan keusahawanan melalui bidang pertanian bagi graduan terutama golongan B40.

“Program ini dilaksanakan secara rintis dengan peruntukan RM10 juta melibatkan dua negeri iaitu Sarawak dan Kedah sehingga Julai 2020, MEDAC telah menerima sejumlah 470 permohonan untuk menyertai program berkenaan.

“Inisiatif ketiga, New Gen Entrepreneur Online Bootcamp (N-GENE) yang bertujuan meningkatkan potensi kebolehpasaran dan membangunkan kemahiran keusahawanan belia secara dalam talian serta bimbingan perniagaan selama sembilan bulan.

“Program ini dijangka bermula Ogos 2020 dan mensasarkan penyertaan seramai 2000 graduan, belia dan pelajar institusi pengajian tinggi atau institusi kemahiran awam,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!