X

Kindly register in order to view this article
!

11 bekas ahli Parlimen PKR bakal sertai Bersatu

Zuraida Kamaruddin
A
A

KUALA LUMPUR - Teka-teki mengenai status 11 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti itu Februari lalu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal terjawab.

Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, mereka perlu menunggu sehingga pemilihan parti Bersatu berakhir dan selepas itu baru proses menyertai parti berkenaan boleh dilakukan.

“Kita secara kumpulan belum (jadi ahli Bersatu) tapi tengah perhalusi kaedah yang kita akan sertai Bersatu. Kita tunggu pemilihan parti berakhir dan juga AGM (Mesyuarat dan Perhimpunan Agung tahunan) mereka.

“Masih menunggu lagi (proses keahlian menyertai Bersatu),” katanya yang juga wakil dan mengetuai Ahli Parlimen Wanita Perikatan Nasional dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Pada Februari lalu, sekumpulan 11 ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Selain Zuraida, mereka termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu ialah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.

Dua lagi ahli Parlimen ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, kesemua ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu kini diletakkan ‘Bersatu’ dalam status parti mereka di Dewan Rakyat.

“Dalam Dewan Rakyat mereka meletakkan kami dalam kelompok Bersatu, jadi itu kami terima,” katanya.

Ditanya mengenai desas-desus kumpulan yang menyokong Mohamed Azmin akan menubuhkan parti baharu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, cadangan itu tidak praktikal.

“Dalam masa singkat ini saya rasa tidak praktikal untuk kita tubuhkan parti baharu kerana sekurang-kurangnya atau selewat-lewatnya dalam masa tiga tahun. Itu masa yang tidak praktikal untuk tubuh parti baru untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus