X

Kindly register in order to view this article
!

Tukar Speaker isyarat besar kerajaan adakan PRU15

Khairil Nizam Khirudin
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menyifatkan pertukaran Speaker Dewan Rakyat dan pencalonan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan @ Harun ke kerusi itu sebagai isyarat besar bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlaku dalam masa terdekat.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, keputusan mencalonkan Azhar yang meletakkan jawatan dalam SPR pada akhir bulan lalu mengejutkan Pemuda Pas kerana seolah-olah isyarat yang cukup kuat dan petanda besar PRU15 akan diadakan.

Kata beliau, persoalan tentang usaha menukar Speaker itu terjawab apabila ia diusulkan sendiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam persidangan Parlimen yang bermula hari ini.

"Dengan undi belah bahagi yang memperlihatkan sokongan pengosongan jawatan Speaker ini sebanyak 111 dan yang tidak menyokong sebanyak 109, maka isyarat ini lebih kuat untuk memastikan pengukuhan kerajaan perlu dilakukan oleh mana-mana pihak dengan menyerahkan semula mandat pemilihan kerajaan kepada rakyat.

"Dengan ini, Pemuda Pas menyokong pertukaran Speaker dan lebih menyokong jika ia dilihat untuk mengukuhkan lagi keputusan pihak kerajaan mengadakan PRU15 secepat yang boleh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, kredibiliti calon Speaker baharu yang terkenal dengan beberapa isu kontroversi berkaitan dengan Melayu dan Islam, apabila dinaikkan menjadi Speaker pastinya akan menimbulkan beberapa persoalan.

Menurutnya, desas-desus Azhar akan dicalonkan sebagai Speaker juga sebelum ini tular di media sosial.

Bagaimanapun, tegasnya, bagi Pemuda Pas, jika isyarat pembubaran Parlimen itu adalah benar, maka seluruh jentera di semua peringkat perlu bersedia berhadapan dengan kemungkinan itu.

Katanya, sekarang waktu tepat untuk diadakan pilihan raya kerana rakyat dilihat berpihak kepada kerajaan yang telah membuktikan prestasi terbaik dalam menguruskan negara dalam tempoh tidak sampai empat bulan memerintah berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lepas.

Sementara itu, Khairil Nizam berkata, usul pertukaran Speaker itu rentetan Speaker yang mengendali sidang kali ini masih lagi individu lama yang dipilih di bawah bekas kerajaan PH.

"Menjadi suatu norma yang biasa apabila berlaku pertukaran kerajaan, pertukaran kedudukan penting dalam kerajaan juga akan bertukar mengikut kepada hala tuju yang telah ditetapkan kerajaan.

"Maka Pemuda Pas menyokong hasrat ini jika ia memudahkan perjalanan urusan kerajaan dalam memberikan pentadbiran yang terbaik kepada rakyat Malaysia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus