X

Kindly register in order to view this article
!

Kes denggi di Kelantan meningkat

Dr Izani (tengah) ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
A
A

KOTA BHARU- Jumlah kes demam denggi sehingga minggu ke-28 di Kelantan tahun ini meningkat kepada 2,226 kes berbanding 2,031 untuk tempoh yang sama pada 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, sehingga kini terdapat empat kematian direkodkan.

Menurut beliau, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Kelantan (JKN) telah mengenalpasti beberapa hotspot kes di negeri ini iaitu di jajahan Kota Bharu dan juga di Bachok.

“Cuma buat masa ini situasi denggi di Kelantan perlu ditangani dengan lebih serius dan langkah pencegahan harus diadakan dengan lebih agresif.

“Selain faktor cuaca, pertambahan kes juga berkait rapat dengan kebersihan dan pengurusan sampah serta persekitaran yang menyebabkan demam denggi mudah merebak,” kata beliau kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat khas denggi Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Dr Izani berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 1,624 kompaun dan 381 notis di bawah Seksyen 8 dikeluarkan.

Dalam pada itu, Dr Izani juga menjangkakan berlaku pertambahan kes demam denggi pada cuti Aidiladha ini dengan mengambil kira faktor migrasi.

Beliau memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Majlis Daerah termasuk pihak berkuasa tempatan telah menggerakkan gotong-royong di lokasi tertentu bagi mengatasi pertambahan kes.

“Selain kempen, kita juga turun padang membersihkan kawasan secara lebih berfokus untuk membasmi lokasi pembiakan nyamuk aedes,” kata beliau.

Beliau juga mengharapkan kerjasama rakyat di negeri ini untuk sama-sama menjaga kebersihan bagi memastikan kes denggi tidak serius.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus