Malaysia perlu berani teroka industri berteknologi tinggi

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
A
A
A

ALOR SETAR - Usaha masih dilakukan untuk negara terus meneroka industri berteknologi tinggi seperti kenderaan elektrik dan kereta terbang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, namun negara perlu berani tampil mengetengahkan idea berkenaan agar tidak ketinggalan dalam ledakan teknologi dan ekonomi.

Menurutnya, projek kereta terbang hanyalah sebahagian daripada usaha negara menerokai bidang lebih luas merangkumi aeroangkasa dan mobiliti udara.

“Kita sudah ketinggalan, yang penting adalah teknologi. Kita masih bercerita benda yang sama, sedangkan negara seperti Singapura telah mengumumkan akan menggunakan kenderaan hibrid dan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi Libat Urus bersama wakil kerajaan, persatuan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju).

Mohd Redzuan berkata, kerajaan mempunyai agenda lebih besar apabila meneroka kebolehupayaan projek kereta terbang dalam negara antaranya sebagai pemudahcara kepada industri yang lebih luas.

“Kita bercakap tentang teknologi aeroangkasa dan mobiliti udara, kenderaan elektrik serta ‘Big Data Analytics’ untuk pemudahcara. Orang lain sudah ke depan, kita masih nak perlekehkan industri ini. Usaha masih dijalankan, orang kita ada yang sudah ke depan menguruskan industri ini di peringkat dunia,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, usaha perlu digiatkan sama ada hanya mahu kekal sebagai pengikut atau menjadi peneraju dalam bidang teknologi dan ekonomi.

“Nampaknya tiada keberanian untuk kita menjadi peneraju, jadi kita jadi pengikut dalam sektor ini. Apabila anda tidak berani untuk menjadi pemimpin dalam ekonomi, kemudian kita kompromi dan ketinggalan,” kata beliau.

Pada November lalu, kenderaan super dron atau kereta terbang UAS E-Hang 216 (EH216) dijangka melakukan penerbangan pertamanya di negara Maldives selepas gagal dipandu uji di Subang setelah pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan kereta terbang pertama Malaysia itu.

Mohd Redzuan yang ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan berkata, peraturan dan birokrasi ketat menjadi penghalang kemajuan pembangunan industri aeroangkasa dan mobiliti udara.