Pulau Pinang serius nilai Zafuan selepas tiada halangan

Zafuan akan terus dinilai oleh Pulau Pinang sehingga aksi persahabatan bertemu Puchong Fuerza pada Jumaat ini. - Foto:AHMAD ZAKI OSMAN
A
A

GEORGETOWN - Isu Zafuan Azeman akan dibawa ke dalam mesyuarat exco Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP)

secepat mungkin selepas pemain itu sah dilepaskan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), semalam.

Pengurusnya, Ong Eng Hua berkata, kini pihaknya tidak mempunyai halangan untuk mendapatkan pemain tersebut namun Zafuan akan terus diuji terutamanya pada aksi persahabatan bertemu Puchong Fuerza di Stadium Bandaraya pada Jumaat ini.

Menurutnya, pengesahan yang dilakukan oleh Singa Utara itu berjaya menjawab situasi sebenar kedudukan pemain itu terutamanya kepada penyokong kedua-dua pasukan di utara ini.

"Selepas ini kami akan membuat langkah susulan selepas Zafuan disahkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan di Liga Malaysia.

"Kami juga akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat exco secepat mungkin. Pada waktu yang sama juga kami akan muktamadkan keputusan bersama Zafuan selepas aksi persahabatan bertemu Puchong Fuerza,"katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Eng Hua berkata, beberapa perkara akan disentuh oleh kedua-dua pihak terutamanya membabitkan gaji yang bakal diterima oleh Zafuan apabila sah menyarung jersi Harimau Kumbang.

"Kami sebagai sebuah pasukan yang tidak berbelanja besar seperti pasukan-pasukan lain juga perlu mengukur kemampuan kewangan yang ada bagi mengelakkan masalah (tunggakan gaji) di kemudian hari.

"Sudah tentu FAP akan melihat kepada semua sudut terlebih dahulu walaupun berminat dengan khidmat beliau. Namun masih banyak yang beliau perlu buktikan sepanjang persediaan pramusim 2019 ini," katanya lagi.

Menurut Eng Hua, mereka berhati-hati dalam menilai dan mendapatkan pemain yang berkualiti walaupun bukan seorang pemain bertaraf bintang.

"Kami nak pastikan semua pihak berpuashati terutamanya pemain. Mereka akan seronok untuk bermain dan memberikan segala-galanya apabila tidak timbul isu masalah seperti gaji tertunggak di kemudian hari,"katanya lagi.

Tambahnya, Pulau Pinang kini sedang berada pada landasan yang betul membentuk pasukan yang mampu memberi saingan kepada pencabar lain di Liga Perdana 2019.

Terdahulu, PFA mengesahkan melepaskan Zafuan tanpa syarat untuk memberi ruang kepada penyerang itu menyertai pasukan lain.

Menurutnya, langkah tersebut dilakukan agar pemain muda itu mendapat peluang untuk beraksi lebih banyak dalam usaha cita-citanya yang mahu beraksi di luar negara pada suatu hari nanti.

Zafuan berdepan saingan sengit di Singa Utara apabila pasukan berkenaan kini mempunyai beberapa pemain berpengalaman di posisi serangan seperti Safee Sali, Khyril Muhaimin selain penyerang import yang masih dalam pencarian.