X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Malaysia catat kes kematian ke-122

Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - Selepas hampir sebulan, Malaysia akhirnya mencatatkan satu lagi kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 122 kes iaitu 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-122 itu merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Beliau telah mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai dan kemudiannya pergi ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai.

“Beliau segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif Covid-19 dan kemudiannya disahkan positif virus itu. Kesihatan beliau terus merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum pesakit disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2020 jam 5.49 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini dengan empat daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, empat lagi kes merupakan penularan di dalam negara dengan masing-masing dua kes adalah dalam kalangan warganegara dan dua lagi adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Dua kes dalam kalangan warganegara melibatkan satu kes di Sarawak yang merupakan kes kematian ke-122 manakala satu lagi di Sabah melibatkan kes saringan bagi kes yang dirujuk ke hospital.

“Kes jangkitan dalam kalangan bukan warganegara pula melibatkan dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, di mana kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal,”katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa persampelan prapembedahan merupakan salah satu sistem survelan yang dijalankan di Malaysia bertujuan untuk mengesan awal jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti dan seterusnya memberi amaran awal kepada pihak KKM untuk bertindak.

Katanya, survelan itu dijalankan ke atas populasi yang besar dan ia meliputi lapisan masyarakat yang tidak bergejala.

“Jadi individu yang perlu menjalani pembedahan bagi kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM, mereka perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu.

“Sehingga semalam, sebanyak 60,952 sampel pra pembedahan telah diambil dan daripada jumlah tersebut, 21 kes telah didapati positif Covid-19 (iaitu kadar positif adalah 0.03 peratus),” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, peratusan kes positif kekal rendah meskipun jumlah persampelan yang tinggi menunjukkan penularan Covid-19 adalah terkawal di dalam negara.

“Sistem survelan yang dinamik ini merupakan proksi yang bagus untuk mengambarkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Ini kerana ia meliputi semua kelompok masyarakat dan dijalankan ke atas individu-individu yang tidak bergejala. Pihak KKM akan terus memantau kes-kes Covid-19 di dalam komuniti dan memastikan kes dikesan awal dan penularan jangkitan Covid-19 dapat dibendung,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus