KRT Guchil Luar bantu kanak-kanak tercicir pelajaran

Yushalani bersama Siti Nur Aina yang ditempatkan di Tabika Perpaduan Guchil Luar.
A
A

KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak, Siti Nur Aina Norzuki, 6, yang tidak bersekolah berikutan keluarganya menghadapi masalah kewangan akhirnya berjaya ditempatkan di Tabika Perpaduan Guchil Luar.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Guchil Luar, Yushalani Yusof berkata, masalah kanak-kanak itu berjaya dikesan menerusi program Ziarah Kasih yang digerakkan KRT berkenaan minggu lalu.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya mengadakan perbincangan dengan keluarga kanak-kanak tersebut untuk menyekolahkannya.

"Alhamdulillah, hasil inisiatif KRT Guchil Luar dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Kuala Krai, Gua Musang serta Tabika Perpaduan Guchil Luar, adik Aina dapat bersekolah Isnin lalu.

“Ini dimensi baru KRT Guchil Luar dan menjadi satu titik permulaan untuk membantu masyarakat setempat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Yushalani berkata, segala kos kelengkapan persekolahan dan yuran tabika kanak-kanak itu ditaja KRT Guchil Luar dan seorang hamba ALLAH yang prihatin.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kuala Krai, Gua Musang, Mohd Hanif Omar meluahkan rasa kagum dengan inisiatif KRT Guchil Luar dan berharap ia menjadi contoh kepada KRT lain.