X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia perlu tenaga kerja terlatih untuk tarik pelaburan

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan tenaga kerja yang terlatih dan berkemahiran tinggi bagi menarik pelaburan berteknologi tinggi untuk memenuhi agenda pembangunan negara, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, antara tumpuan utama yang memerlukan tenaga kerja terlatih adalah dalam bidang automasi, logistik, rawatan kimia dan air sisa serta teknologi percetakan.

“Apa yang kita belajar semasa koronavirus (Covid-19) ialah kita perlukan teknologi baharu seperti robotik dan automasi dan sudah tentulah perkara ini diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Azmida Technical College di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia boleh mengambil peluang dan berpotensi untuk menarik pelaburan asing terutama syarikat Jepun yang baru-baru ini mengambil keputusan untuk memindahkan serta menempatkan semula kilang mereka dari China susulan pertikaian perdagangan Amerika-China.

“Pada pandangan saya, pelabur ini sudah bersedia untuk mengalih pelaburan mereka tetapi Malaysia juga harus bersedia dengan tenaga kerja yang terlatih.

“Kita boleh tawarkan kepada mereka antaranya infrastruktur yang baik serta tenaga kerja yang terlatih dan ini boleh mewujudkan lebih banyak nilai kepada penyertaan tempatan,” katanya.

Mohamed Azmin menambah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga giat menjalankan inisiatif bagi menempatkan graduan daripada pusat latihan kemahiran dan kolej teknikal dan vokasional untuk memenuhi permintaan industri.

“Setakat ini, kita telah mengenalpasti 105 syarikat dalam 16 sektor tertentu yang memerlukan 1,185 tenaga mahir,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin turut menyatakan bahawa Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan membiayai pembelajaran 100 pelajar Azmida Technical College dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf