X

Kindly register in order to view this article
!

AMK Cabang PD lumpuh, hampir 100 ahli keluar parti

Antara ahli AMK Cabang PD yang keluar parti PKR pada sidang akhbar di Port Dickson hari ini.
A
A

PORT DICKSON - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Port Dickson lumpuh apabila hampir 100 ahli termasuk pengerusi tetap, setiausaha dan 15 ahli jawatankuasa (AJK) isytihar keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa hari ini dan menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Pengerusi Tetap AMK Cabang Port Dickson, Amirudin Abdul Wahab berkata, tindakan tersebut dibuat berikutan parti itu semakin lemah dan tidak berupaya memenangi kerusi pada pilihan raya umum nanti.

Katanya, PKR terlalu membincangkan politik sempit hanya untuk menjadikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri semata-mata.

"Parti sanggup memecat anggota yang banyak berjasa hanya kerana berbeza pendapat dan pandangan dalam perkara kecil.

"Anggota dikehendaki taksub dengan cita-cita menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, siapa yang tidak akur akan dipecat," katanya pada sidang akhbar di Port Dickson dekat sini hari ini.

Tambahnya, perbincangan mengenai reformasi dan pembelaan rakyat semakin jauh daripada topik dalam parti, sebaliknya tajuk utama hanya berkisar kepada menyerang sesama sendiri akibat taasub untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya, pihaknya juga kecewa dan hilang kepercayaan dengan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mengutamakan orang di sekelilingnya sahaja.

"Bukan sahaja kami tetapi akan ada ramai lagi yang akan meninggalkan parti yang sudah kematian roh perjuangan sebenar.

"Kami menyokong usaha dalam memastikan untuk menukar kerajaan negeri kepada kerajaan lebih bersifat rakyat dengan menyokong penuh Perikatan Nasional," katanya.

Tambah Amirudin, kepimpinan AMK Cabang Port Dickson ketika ini disifatkan sebagai tergantung apabila Ketua AMK cabang, Mohd Nazir Hamed mendapat undi tidak percaya dalam Mesyuarat Agung Tahunan AMK 2019 manakala Timbalannya, Muhammad Affandi Abd Malik dan Naib AMK, Ammar Abd Rashid pula telah digantung bulan lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!