Enam lelaki dihukum mati mandatori bunuh Kevin Morais

Mayat Morais dijumpai di dalam tong dram yang diisi konkrit di Taman Subang Mewah, USJ 1.
Mayat Morais dijumpai di dalam tong dram yang diisi konkrit di Taman Subang Mewah, USJ 1.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Enam lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dalam kejadian lima tahun lalu.

Mereka ialah pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 57; pemberi pinjaman wang, S Ravichandran, 49; serta empat penganggur, R Dinishwaran, 28, A K Thinesh Kumar, 27, M Vishwanath, 30, dan S Nimalan, 27.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati lima tertuduh bersama Dr Kunaseegaran dengan niat membunuh Kevin Morais.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Azman berkata, setelah meneliti keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah.

“Mahkamah mengambil penelitian dengan penemuan sarung tangan yang mengandungi kesan darah milik Kevin Morais dalam kereta Mitsubishi Triton (milik tertuduh) yang digunakan untuk melanggar kenderaan yang dipandu mendiang.

“Ia termasuk penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) mendiang pada baju-T hitam milik salah seorang tertuduh,” katanya.

Berikutan itu, Azman memerintahkan semua tertuduh digantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan seperti tuduhan dihadapi mereka.

Pada 20 November 2018, mahkamah memerintahkan enam lelaki itu membela diri terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan kes.

Artikel Berkaitan:

Kesemuanya dituduh membunuh Kevin Morais ketika perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 dan berdepan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Kevin Morais.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015 yang mana sebelum ini dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Pihak pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Saiful Edris Zainuddin dan Shafiq Mahadi.

Sementara peguam, Datuk N Sivananthan mewakili Dr Kunaseegaran manakala Datuk R Sheelan Arjunan Ryshinah mewakili lima tertuduh lain.