ECERDC teruskan pelaksanaan projek strategik tarik pelaburan

Mesyuarat Majlis ECERDC yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, semalam.
Mesyuarat Majlis ECERDC yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus menerajui pelaksanaan projek strategik dan menarik pelaburan baharu untuk mengekalkan momentum pembangunan serta memulihkan semula ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagi tujuan itu, ECERDC menggariskan strategi untuk memacu ekonomi di ECER dan mengurangkan impak pandemik Covid-19 kepada rakyat di dalam fasa pemulihan negara yang akan dilaksanakan seiring dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, sepanjang rancangan pemulihan dilaksanakan, ECERDC akan menumpukan kepada agenda utama untuk meneruskan transformasi dan pertumbuhan sosioekonomi wilayah tersebut.

“Sebagai tambahan kepada agenda pemulihan, projek strategik yang telah dikenal pasti di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) akan terus dilaksanakan.

“ECERDC juga akan memberikan tumpuan kepada projek pemangkin utama yang akan memacu perkembangan itu termasuk pembuatan, pelancongan, perniagaan tani, memacu perdagangan rentas sempadan, menangani impak Covid-19, program pembangunan modal insan bersifat inklusif dan transformasi digital menerusi Penerapan Industri 4.0,”katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Baidzawi berkata, projek berkenaan telah dikenal termasuk peluasan taman industri, logistik dan perkhidmatan akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing ECER dan menarik lebih banyak pelaburan swasta.

“Antaranya peluasan Taman Biopolimer Kerteh di Terengganu, pembangunan Jalan Port Link Bandar Pelabuhan Kuantan dan pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng di Pahang.

“Bagi mengukuhkan lagi daya tarikan wilayah ini sebagai destinasi pelaburan yang distingtif dan dinamik, ECERDC dan kerajaan negeri akan menubuhkan pusat sehenti di Gebeng dalam Zon Ekonomi Khas ECER,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi menangani impak COVID-19 ECERDC bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor, serta rakan kongsi strategik untuk memastikan rakyat di ECER mendapat bantuan melalui beberapa inisiatif dalam strategi pemulihan ekonomi.

Baidzawi memberitahu, ECERDC turut menambah baik program pembangunan modal insan ECER untuk orang asli yang yang telah terbukti keberkesanannya dalam meningkatkan prestasi akademik dan taraf hidup mereka di bawah Program Pembangunan Modal Insan Bersifat Inklusif.

“ECERDC juga telah menggariskan pelan tindakan untuk transformasi digital ECER di bawah EMP2.0 disokong oleh Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) yang akan memainkan peranan penting dalam memacu penerapan Industri 4.0 di ECER.

“ACES akan diperbadankan untuk menggerakkan usaha digitalisasi perniagaan dalam semua sektor dengan lebih tersusun,” katanya.