X

Kindly register in order to view this article
!

31 mat rempit termasuk 7 bawah umur didakwa

Sebahagian 31 mat rempit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
A
A

SEREMBAN - Seramai 31 mat rempit termasuk tujuh remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menunggang secara melulu, berbahaya dan gopoh.

Pertuduhan terhadap semua lelaki masing-masing berusia 15 hingga 28 tahun itu dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Seramai 19 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu, selama dua tahun.

Seramai 12 lagi didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum 2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Seremban pada November 2018 hingga Mac lalu.

Selepas pertuduhan dibacakan, sembilan tertuduh mengaku bersalah mengikut pertuduhan Seksyen 279 Kanun Keseksaan berkenaan dan yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, seorang tertuduh, Isaac Tey Chen Chung, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Akmal Hakeemi Yazid, 23, di Jalan Forest Height di sini pada 18 Mei tahun lalu.

Isaac didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 10 tahun dan denda RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan kes disebut semula 13 Ogos ini.

Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus