Enam warga Nigeria dicekup

Antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Taman Connaught, Cheras kelmarin.
Antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Taman Connaught, Cheras kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam warga Nigeria dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Connaught, Cheras di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, lima individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan pertama di sebuah kondominium kira-kira jam 10.45 malam.

"Pemeriksaan telah menemui serbuk disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 369 gram bernilai RM36,000.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia 33 hingga 37 tahun itu tidak bekerja. Ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki ditahan dalam serbuan kedua di kawasan sama kira-kira jam 11.30 malam.

"Turut dirampas sepeket plastik berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis dianggarkan seberat 20.4 gram bernilai RM1,000.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada suspek serbuan kedua mempunyai kaitan dengan suspek yang lain.

"Selain itu, polis juga masih menyiasat bagi mendapatkan maklumat punca bekalan dan penglibatan pengedaran yang dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.