X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar setuju jika rundingan ECRL dapat kurangkan kos

Anwar Ibrahim
A
A

PORT DICKSON - Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju jika rundingan dilakukan kerajaan dengan pihak terbabit mengenai penjajaran semula projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bertujuan mengurangkan kos sedia ada.

Menurutnya, jika perbincangan itu membawa kepada peningkatan kos, ia adalah tidak munasabah.

"Jika kerajaan mahu mengadakan rundingan semula jajaran ECRL bertujuan mengurangkan kos, saya setuju. Tapi jika mengangkat dan memastikan peningkatan kos, bagi saya ia adalah tidak munasabah.

"Saya tidak faham kenapa kerajaan sekarang memilih untuk kembali semula kepada kos asal yang jauh lebih tinggi, apa kepentingan, siapa wakilnya, siapa yang kutip komisen dan siapa ada kepentingan perdagangan di situ," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Program Keadilan Cakna Siswa di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan kerajaan mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit mengenai penjajaran semula ECRL.

Mengulas lanjut, Presiden PKR itu turut mempersoalkan kewajaran rundingan semula dilakukan kerajaan dengan pihak terbabit yang sebelum ini telahpun bersetuju yang kos projek mega itu diturunkan.

"Yang saya rasa aneh ialah setelah rundingan itu dibuat dan kemudian dikembalikan kepada projek asal sedangkan saya telah berbincang dengan rakan di China dan di sini yang mana mereka dapat terima kenyataan yang kos boleh diturunkan secara agak tinggi.

"Projek ECRL yang dicadangkan kerajaan PH dahulu bukan saja dapat mengurangkan kos tetapi dapat memberi manfaat kepada lebih banyak negeri termasuk di Negeri Sembilan yang dapat meningkatkan mutu hidup rakyat, pembangunan negeri dan negara," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau akan membawa perkara itu ke Parlimen bagi mendesak kerajaan memberi penjelasan mengenainya.

Projek ECRL sebelum ini diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober 2016 membabitkan kos sebanyak RM65.5 bilion.

Projek itu pada awalnya dirancang bagi menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pengkalan Kubur, Kelantan dan dijangka siap menjelang 2024.

Namun ia telah diubah oleh kerajaan PH yang mana tidak akan melalui Bentong dan Gombak, sebaliknya menuju selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi/Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Projek itu diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion.

ECRL adalah projek penting bagi China kerana dengan menggunakan laluan Pelabuhan Kuantan-ECRL-Pelabuhan Klang, jarak dan masa dagangan antara China dan Semenanjung Malaysia dapat dipendekkan dan tidak lagi perlu menggunakan Pelabuhan Singapura.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus