SPRM guna pakai maklumat isytihar harta ahli Parlimen jika ada kes

SPRM
SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan mengguna pakai maklumat pengisytiharan harta yang dibuat ahli Parlimen dan anggota pentadbiran sekiranya ada kes berbangkit yang memerlukan tindakan lanjut, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Beliau berkata, ketika ini SPRM hanya menyimpan senarai maklumat pengisytiharan harta yang dilakukan mereka dalam sistem data maklumat agensi itu.

Bagaimanapun beliau berkata, SPRM tidak boleh mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen atau anggota pentadbiran yang tidak mengisytiharkan harta mereka kerana tiada undang-undang yang khusus untuk perkara itu.

“Apa yang SPRM guna sekarang adalah kod etika peringkat Parlimen, mereka (ahli Parlimen dan anggota pentadbiran) mengisytiharkan (harta) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Menurutnya, setakat hari ini mereka hanya mengisytiharkan harta dengan perlu mengisi borang akuan pengisytiharan harta.

"Borang berkenaan akan melalui beberapa proses serahan termasuk kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pejabat Perdana Menteri, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang kemudian salinannya akan diserah kepada pihak SPRM untuk disimpan," katanya.

Dalam pada itu ditanya sama ada SPRM mempunyai sistem dalam talian untuk ahli Parlimen dan anggota pentadbiran mengisytiharkan harta, Shamshun Baharin berkata, pihaknya masih mengkaji perkara berkenaan.

“Setakat ini, SPRM tidak mempunyai sistem dalam talian untuk ahli Parlimen dan anggota pentadbiran untuk mengisytihar harta mereka tetapi jika ada undang-undang baharu ia mungkin boleh dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, banyak negara di dunia telah banyak menggunakan sistem dalam talian berhubung perkara ini dan ia amat memudahkan urusan mereka,” katanya.

Pada Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua ahli Kabinetnya mengisytiharkan harta yang dimiliki kepada SPRM.

Tindakan itu selaras dengan komitmen kerajaan memerangi rasuah.

Ia juga berikutan status pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen terkandung dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan Januari tahun lepas. - Bernama