20 diskaun penerbangan domestik kepada guru, pensyarah

Ismail Sabri bercakap pada sidang akhbar harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Ismail Sabri bercakap pada sidang akhbar harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia Airlines Berhad (MAB) menawarkan diskaun 20 peratus kepada guru dan pensyarah institut pengajian tinggi awam serta swasta bagi penerbangan domestik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tawaran yang sama turut diberikan kepada pelajar yang menjadi ahli program MH Explorer di laman sesawang syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, guru dan pensyarah boleh mula menempah tiket penerbangan bermula dari 9 Julai hingga 10 Ogos bagi perjalanan pada 10 Julai sehingga 30 November ini.

“Diskaun boleh diperoleh melalui tempahan dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Bagi pelajar pula diskaun boleh dinikmati sehingga 30 November ini atau sehingga tempoh keahlian tamat mengikut syarat keahlian MH Explorer,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Ismail Sabri berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Izham Ismail mengenai harga tiket penerbangan kepada golongan tersebut.

No Image Caption

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan Malaysia Airlines atas kesudian menawarkan diskaun ini.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan syarikat penerbangan lain boleh turut serta dalam usaha menurunkan harga tiket penerbangan,” katanya.

Ismail Sabri berkata lagi, tawaran istimewa itu bertujuan memudahkan mereka pulang ke kampus dalam waktu terdekat memandangkan institusi pendidikan akan dibuka tidak lama lagi.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, sejak 1 Mei hingga kelmarin seramai 1,391 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 235 tekong ditahan kerana cuba menceroboh sempadan negara secara haram melalui lorong tikus.

"PDRM telah menahan tujuh warga asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen semalam," katanya. - Bernama