X

Kindly register in order to view this article
!

Dua premis perlombongan wang kripto curi elektrik diserbu

Pintu premis terlibat terpaksa dipecahkan oleh kakitangan TNB dalm operasi tersebut.
A
A

PELABUHAN KLANG - Dua premis yang dipercayai melakukan kegiatan perlombongan wang digital atau kripto diserbu dalam satu operasi bersepadu di sekitar kawasan Pusat Komersil Taman Pendamar Indah hari ini.

Difahamkan premis terlibat diserbu oleh Suruhanjaya Tenaga bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berdasarkan risikan dijalankan selama sebulan sebelum ini.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga, Ir Shafie Mohamed berkata, menerusi siasatan awal dijalankan, premis berkenaan dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dan didapati melakukan kegiatan mencuri elektrik.

"TNB mendapati premis ini sememangnya melakukan penyambungan elektrik secara terus tanpa melalui meter.

"Ini bermaksud pihak terlibat melakukan pendawaian haram bagi mendapatkan bekalan elektrik secara percuma dengan anggaran jumlah kegunaan bernilai RM30,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi kes itu di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 di mana jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan tindakan denda atau penjara.

Kelengkapan server yang ditemui di sebuah premis dipercayai melakukan kegiatan melombong mata wang digital atau kripto dalam operasi itu.
Kelengkapan server yang ditemui di sebuah premis dipercayai melakukan kegiatan melombong mata wang digital atau kripto dalam operasi itu.

Beliau berkata, kes itu merupakan satu isu besar berikutan penggunaan elektrik dengan mengabaikan aspek keselamatan akan membahayakan pengguna serta orang awam.

"Selain itu, tindakan ini juga menyebabkan gangguan bekalan di kawasan sekitar ekoran penggunaan elektrik berlebihan," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darwin berkata, terdapat sekitar 21 premis di kawasan berkenaan disyaki melakukan kegiatan mencuri elektrik.

Beliau berkata, MPK akan membantu dalam mengenalpasti pemilik premis terlibat dan memanjangkan maklumat berkenaan kepada Suruhanjaya Tenaga serta TNB untuk tindakan selanjutnya.

"Ini kerana mungkin kesalahan itu boleh dilakukan oleh pemilik, penyewa atau penceroboh.

"Jadi sebab itu maklumat berkenaan perlu diserahkan kepada pihak terlibat untuk jalankan siasatan selanjutnya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus