Tolak tepi bincang isu calon Perdana Menteri

Annuar ketika meninjau projek pengindahan River of Life sekitar Masjid India di Kuala Lumpur hari ini.
Annuar ketika meninjau projek pengindahan River of Life sekitar Masjid India di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa bersetuju dengan kenyataan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar isu calon Perdana Menteri dalam kalangan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lagi dibincangkan.

Menurut Annuar, kuasa pentadbiran yang berada dalam tangan kini sepatutnya digunakan untuk bekerja demi rakyat.

Dalam tempoh tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), katanya, adalah lebih baik kerajaan menumpukan usaha membela rakyat berbanding bercakap soal pilihan raya umum (PRU).

"Siang malam bersyarah nak membela nasib rakyat. Apabila kuasa sudah ada dalam tangan tapi masih nak bercakap soal PRU, sedangkan rakyat ada masalah dan harapan," katanya ketika meninjau projek pengindahan River of Life sekitar Masjid India di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid semalam yang mengingatkan partinya supaya tidak terheret dalam perbahasan mengenai calon Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen UMNO diarah pertahan kerajaan PN

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, politik perlu diuruskan dengan baik bagi membolehkan pemimpin menyempurnakan agenda rakyat.

"Kita jangan jadi politik yang hari-hari bincang perkara tidak berfaedah untuk rakyat. Tugas kita sekarang ialah mewujudkan politik paling stabil dan mandat yang kuat sebab kita ada banyak kerja yang belum dapat disempurnakan dan rakyat ternanti-nanti.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita perlukan politik yang sihat, positif dan fokus agenda rakyat. Itu yang penting. Soal PRU, apabila tiba masanya kita buat keputusan kemudian. Tak usahlah terlalu banyak bincang, perlu ada had," katanya.