Fokus baki aksi Liga Super

Kesebelasan Sabah Foto : Facebook Sabah FA
Kesebelasan Sabah Foto : Facebook Sabah FA
A
A
A

SABAH mahu menjadikan baki tujuh perlawanan Liga Super 2020 kelak, ibarat perlawanan akhir dalam usaha meneruskan cabaran dalam dalam saingan elit bola sepak negara itu.

Ketua jurulatih Sabah Kurniawan Dwi Yulianto berkata, peringatan berkenaan telah diberikan kepada kesebelasan pemain untuk mengubah mentalilti bahawa saingan liga kali ini adalah jauh berbeza berbanding perlawanan-perlawanan terdahulu.

Justeru menurut Kurniawan, sebarang peluang bagi meraih tiga mata tidak boleh dibazirkan buat Sabah walaupun mereka kini berada di tangga keempat CIMB Liga Super menerusi pungutan lima mata daripada empat perlawanan.

“Sejak hari pertama kami berlatih, saya telah mengingatkan pemain agar terus meningkatkan prestasi kerana hanya tujuh perlawanan sahaja yang kami akan lalui, jadi kami tidak boleh keciciran sebarang mata sambil menjadikan aksi tiap perlawanan umpama perlawanan akhir.

“Kami tidak akan memilih perlawanan tertentu dalam meraih kemenangan sebaliknya akan fokus daripada satu ke satu perlawanan dan menganggap semua lawan yang kami akan tentang adalah sama.

“Apa yang paling penting, pemain kena cepat kembali mendapatkan fokus sebelum liga bersambung kerana aksi perlawanan selepas ini begitu padat dan mereka perlu bersedia daripada segi fizikal serta mental bagi mengharungi saingan kali ini,” katanya.

Untuk rekod, daripada baki tujuh perlawanan CIMB Liga Super, Sabah akan mengharungi baki tiga perlawanan apabila menanti kunjungan Selangor, Melaka United dan UiTM FC di laman sendiri manakala empat lagi aksi berdepan Terengganu FC, PJ City FC, Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang lawan.

Dalam empat perlawanan terdahulu, rekod Sabah ini boleh dibanggakan apabila mencatat satu kemenangan menewaskan Felda United, 3-1 selain terikat 0-0 berdepan PDRM, mengikat Perak 2-2 sebelum tewas 0-2 kepada Pahang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kurniawan memohon penyokong untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Tambadau agar sentiasa bersemangat dalam misi mengembalikan zaman kegemilangan seperti era 90-an dan awal 2000-an.

Malah pihaknya turut berharap agar lebih ramai penyokong Sabah dapat diberikan kelonggaran untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan sekiranya kehadiran penonton dibenarkan semula pada masa akan datang.

"Sambutan yang diberikan oleh penyokong Sabah masih di tahap sederhana; terutamanya ketika aksi sulung mereka di Stadium Likas semasa berdepan Felda United. Diharapkan agar lebih ramai mereka turun ke stadium kali ini.

“Sebagai bekas pemain dan kini selaku jurulatih, sememangnya kehadiran penyokong yang ramai akan membangkitkan lagi semangat pemain tiap kali turun beraksi; dokongan rakyat Sabah cukup penting kepada pasukan dan saya rasa sokongan peminat masih boleh ditingkatkan lagi memandangkan kami sudah berada di Liga Super.

“Saya berharap semoga selepas penonton kembali dibenarkan ke stadium, lebih ramai rakyat Sabah datang ke stadium dan mencetuskan aura tersendiri kepada pasukan untuk bermain lebih baik,” katanya.