Operasi SAR lebih 24 jam kerana faktor keselamatan penyelam

A
A

GEORGETOWN - Usaha menaikkan kenderaan SUV CX-5 yang terjunam ke dasar laut awal pagi Ahad lalu mengambil masa lebih 24 jam kerana beberapa faktor termasuk keselamatan penyelam.

Koordinator Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Laksamana Maritim Rozali Mohd Said berkata, keselamatan penyelam perlu diambil kira kerana mereka berdepan risiko berikutan keadaan kenderaan itu rosak teruk akibat rempuhan ketika kemalangan.

"Selain itu, keadaan arus deras di dasar laut dan penglihatan penyelam yang hampir sifar turut menyukarkan usaha mendekati kenderaan tersebut.

"Tambahan, setiap penyelam hanya boleh menyelam 20 minit sahaja," katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, keadaan di bawah laut berisiko dan menyebabkan usaha memasang tali pada kenderaan SUV tersebut memakan masa.

"Dengan kesukaran ini, saya berterima kasih kepada semua 169 pegawai dan anggota termasuk 41 penyelam daripada lima pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi SAR.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak berkuasa terlibat yang saling menyokong menggunakan kepakaran serta aset masing-masing," katanya.

Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, sebuah kereta terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jambatan Pulau Pinang.

Kemalangan itu berlaku dari arah pulau menghala ke seberang pada jam 2.45 pagi.

Dalam kejadian itu, dua buah kenderaan terlibat yang mana, sebuah kereta Toyota Vios remuk dan pemandunya yang berusia 20-an cedera di kepala, tangan dan kaki.

Dia kini dirawat di sebuah hospital swasta dan polis akan mendapatkan keterangannya dalam masa terdekat setelah keadaannya stabil.

Mangsa dan lelaki tersebut merupakan rakan sejak di sekolah rendah dan kejadian berlaku selepas mereka bersama lima rakan lain menghadiri majlis sambutan hari jadi salah seorang rakan mereka di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia.

Selepas berhibur, kesemua mereka pulang ke rumah masing-masing pada jam 2.30 pagi yang mana, lima rakan mereka tinggal di bahagian pulau manakala mangsa dan lelaki tersebut tinggal di Perai.

Mangsa dikenali sebagai Moey Yun Peng, 20 adalah pelajar sebuah kolej swasta dan tinggal di Taman Kempas, Butterworth.

ARTIKEL BERKAITAN: