Dasar antirasuah negara diteruskan

A
A
A

DALAM Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang telah diadakan pada 25 Jun 2010, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju untuk meneruskan keputusan-keputusan dasar yang telah dicapai sebelum ini.

Antara keputusan penting tersebut adalah mengadakan mesyuarat JKKMAR dan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan secara berkala selaras dengan Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018.

Usaha pencegahan dan pengawalan rasuah dalam sektor awam terus dimantapkan. Semua kementerian dan jabatan sektor awam dikehendaki melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) sebagai satu usaha kawalan pencegahan rasuah yang efektif.

Sementara itu pencegahan rasuah di sektor swasta turut dimantapkan dengan sistem pencegahan rasuah melalui Beneficiary Ownership dan entiti perniagaan mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi.

YAB Perdana Menteri turut menegaskan bahawa, kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.

Ini merupakan satu isyarat yang sangat penting kepada masyarakat bahawa, Kerajaan Perikatan Nasional amat serius dalam usaha menghapuskan rasuah, meningkatkan tadbir urus terbaik dan membanteras segala bentuk penyelewengan yang berlaku sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor swasta.

Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menyambut baik keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini dan sedia membantu semua pihak dalam merealisasikan hasrat kerajaan ini.

Ke arah itu, INTEGRITI menawarkan beberapa produk dan perkhidmatan yang memfokuskan untuk meningkatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah. Di antaranya ialah Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang merupakan salah satu inisiatif mandatori di bawah NACP khususnya dalam "Memperkukuhkan Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan Awam".

Artikel Berkaitan:

OACP dirumuskan dengan tujuan membantu organisasi untuk membangunkan rancangan strategik antirasuah korporatnya sendiri. Ia menggariskan penyataan masalah, pendekatan dan program yang berkaitan dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan.

Bantu

Di samping itu integriti juga merupakan salah satu agensi yang diamanahkan kerajaan untuk membantu organisasi kerajaan dan swasta dalam membangunkan dan mendapatkan persijilan ISO 37001 - Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).

Standard ini digunakan untuk membantu organisasi untuk mencegah, mengesan dan menangani rasuah. Sistem pengurusan antirasuah memerlukan organisasi untuk menerima dasar antirasuah, melantik seseorang untuk mengawasi pematuhan antirasuah, latihan, penilaian risiko dan ketekunan wajar (due diligence) terhadap projek dan rakan perniagaan.

Organisasi ini juga boleh mengenal pasti dan mengkaji semula risiko yang berkaitan dengan ancaman rasuah dengan melaksanakan kawalan kewangan dan komersial, melaksanakan prosedur pelaporan dan penyiasatan.

Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) pula merupakan proses pengurusan yang akan membantu organisasi dalam mengenalpasti risiko-risiko rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa serta menyediakan pelan pengurusan risko yang sistematik sehingga mewujudkan tadbir urus terbaik yang boleh menutup ruang peluang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Selain itu, CRM adalah platform yang terbaik untuk semua kakitangan mengutarakan kelemahan struktur dalam organisasi yang boleh membuka ruang berlakunya rasuah dan mengenal pasti faktor risiko serta cadangan pelan tindakan risiko. CRM menekankan analisa data kesalahan rasuah selain mengenalpasti punca-punca dan skim rasuah yang akan menghasilkan pelan tindakan risiko yang berguna dan praktikal untuk pihak pengurusan tertinggi organisasi bagi memantapkan tadbir urus di organisasi.

Di samping itu terdapat juga perkhidmatan Individual Integrity Profiling (IIP), Integrity Assessment Tool (IAT), Community Integrity Building (CIB) dan Program Latihan Etika dan Integriti. Kesemua produk itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan kapasiti keupayaan & kompetensi kepada semua sektor awam, korporat dan Syarikat Milik Kerajaan (GLC).

Namun begitu, harus diingat dalam usaha bersama kita melangkah ke hadapan untuk memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta meningkatkan tadbir urus terbaik, semua pihak bermula dari peringkat kepimpinan tertinggi negara sehinggalah masyarakat perlu memberikan sokongan dan kerjasama. Tanpa ini semua, mustahil impian akan menjadi nyata.

* Zubayry Abady Sofian ialah Pegawai Kanan Seksyen Pemasaran dan Komunikasi Korporat Institut Integriti Malaysia (Integriti)