Pekerja binaan maut lantai bangunan runtuh

Kejadian petang tadi mengakibatkan seorang pekerja warga Bangladesh maut di lokasi kejadian.- Foto: MOHD IZARI ROSLI
A
A

SUBANG JAYA - Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas lantai bangunan berketinggian kira-kira 14 meter dalam proses pembinaan runtuh di Taman Hi-Tech Subang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.44 petang, mangsa berusia 43 tahun dikatakan sedang melakukan kerja pembinaan di bangunan terbabit.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, lantai bangunan terbabit secara tiba-tiba runtuh menyebabkan mangsa terjatuh sebelum terperangkap.

Sekitar kawasan kejadian.- Foto: MOHD IZARI ROSLI
Sekitar kawasan kejadian.- Foto: MOHD IZARI ROSLI

"Mangsa terhempap dengan besi perancah dan bancuhan simen," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (Storm) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mangsa berjaya ditemui pada jam 5.42 petang dan usaha mengeluarkan mangsa sedang giat dilakukan," katanya.

Tambahnya, punca kejadian dipercayai disebabkan struktur lantai bangunan yang masih belum kukuh.

Difahamkan, bangunan berkenaan adalah pembinaan sebuah gudang.