Kempen hentikan pasaran rokok gelap

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 62 peratus daripada seluruh pasaran tembakau di Malaysia hari ini dikuasai oleh sindiket penyeludupan rokok dan negara kita berada di tangga teratas di dunia bagi rokok seludup yang mengakibatkan kerugian cukai eksais yang mencecah RM5.3 bilion setiap tahun.

Susulan itu, syarikat tembakau yang terulung di Malaysia British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) bertekad mahu menghentikan pasaran gelap rokok melalui kempen 'Hentikan Pasaran Gelap' dan membuka mata masyarakat terhadap isu ini.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed berkata, kempen tersebut turut menonjolkan kesan negatif pasaran gelap rokok kepada negara dan mengajak rakyat Malaysia berkongsi pandangan mereka tentang cara untuk membanteras jenayah ini.

Beliau berkata, selain daripada mencemar nama baik negara, kesan negatif pasaran gelap rokok begitu meluas sehingga menjejaskan perniagaan sah dan kehidupan seluruh rakyat.

"Kami menghargai dan memuji usaha gigih semua agensi penguatkuasaan undang-undang sejak kebelakangan ini dan kami berharap usaha ini akan terus memberi tekanan kepada sindiket yang beroperasi dalam pasaran gelap rokok ini.

No Image Caption

"Namun, tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mampu menyelesaikan ini. Perhatian yang lebih serius harus diberikan terhadap isu ini dan rakyat perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Reed berkata, BAT mengambil pendekatan proaktif untuk tampil bersama membendung isu berkenaan sebelum ia bertambah parah kerana pasaran gelap rokok membentuk sebahagian daripada ekonomi gelap bernilai RM300 bilion yang terus menjejaskan pertumbuhan negara.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat boleh mengambil bahagian dalam tinjau selidik supaya untuk memberikan pendirian mengenai isu ini serta berkongsi apa yang perlu dilakukan untuk membantu memulihkan ekonomi negara ini," katanya.

Menurut satu tinjauan pendapat yang dijalankan baru-baru ini oleh syarikat penyelidikan pasaran terkemuka, rakyat Malaysia percaya bahawa tabiat merokok dalam kalangan belia bawah umur adalah disebabkan oleh rokok seludup murah yang begitu mudah didapati.

Beliau berkata, masyarakat boleh menyuarakan pandangan mereka menerusi satu tinjau selidik seluruh negara yang dijalankan secara dalam talian di www.stoptheblackmarket.com.my dan boleh berkongsi pendapat di https://www.facebook.com/stoptheblackmarket.