Padah izin imigran tinggal di premis, dua majikan didenda

Lim Un Chai sedang membuat pembayaran denda di mesin juruwang automatik (ATM) dengan dibantu pegawai mahkamah di Kompleks Mahkamah Terengganu.
Lim Un Chai sedang membuat pembayaran denda di mesin juruwang automatik (ATM) dengan dibantu pegawai mahkamah di Kompleks Mahkamah Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua majikan masing-masing didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah membenarkan imigran haram masuk atau tinggal di premis mereka.

Tertuduh, Lim Un Chai, 54, didakwa membenarkan tiga imigran haram warga Indonesia tinggal di dalam premisnya di sebuah kuari, Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu pada jam 12.50 tengah hari, 15 Januari lalu.

Bagi tertuduh Hazrul Idham Hamzah, 33, pula, dia didakwa membenarkan tiga imigran haram iaitu dua warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia masuk atau tinggal di dalam premisnya di sebuah tapak pembinaan, di Kampung Tajin, Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu pada jam 11.05 pagi, 11 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh di hukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, masing-masing boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram dijumpai di dalam premis, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Artikel Berkaitan: