X

Kindly register in order to view this article
!

Luqman sudah dapat ‘lampu hijau’ MKN

Lukman berada pada prestasi terbaik membuktikan kemampuannya bersama Kortrijk.
A
A

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin boleh membuat permohonan kebenaran terbang merentasi luar negara bagi mendapatkan pelepasan khas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Ismail Sabri, pemilik kelab KV Kortrijk (KVK), Tan Sri Vincent Tan sendiri boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan pelepasan khas itu selepas Luqman mengesahkan dia akan berhijrah ke kelab berpangkalan di Belgium itu semalam.

Jelas lagi Ismail Sabri, KKM boleh memberikan kebenaran berdasarkan situasi Luqman tetapi penyerang berusia 18 tahun itu diingatkan supaya melengkapkan semua dokumen dalam pemindahannya dari Selangor 2 ke KVK.

“Berdasarkan perkembangan terkini, jika Luqman harus terbang ke Belgium dalam memenuhi kontrak lima tahunnya (bersama KVK) atau jika sah Liga Belgium musim baharu akan bermula contohnya akhir Ogos atau September depan, pihak pemilik kelab (Vincent Tan) sendiri boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan pelepasan khas.

“KKM boleh memberi kebenaran dalam situasi Luqman ini tetapi dia harus melengkapkan semua dokumen dalam proses perpindahan dari Selangor ke Belgium itu. Insya-ALLAH tiada masalah buat Luqman untuk terbang (ke Belgium) nanti,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri mengharapkan Luqman dapat memberikan prestasi terbaik ketika beraksi bersama KVK dalam usaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya berbangga dengan kejayaan Luqman yang berhijrah ke KVK dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya. Semoga dia dapat mengharumkan nama Malaysia nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memuji keberanian Luqman yang telah membuat keputusan untuk melebarkan kariernya dengan menyertai KVK.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal mengingatkan kepada penyerang berusia 18 tahun itu agar sentiasa mengekalkan jati diri dan meningkatkan daya ketahanan mental jika mahu melangkah jauh di peringkat Eropah.

“Saya harus mengingatkan kepada Luqman bahawa ia bukan sesuatu yang mudah terutama jika berhijrah ke tempat baharu yang cukup berbeza daripada tempat lahir.

“Ini kerana Luqman perlu miliki jati diri yang kuat apabila berada di bumi Eropah kerana semua segi baik faktor persekitaran, pemakanan, budaya dan sebagainya akan berubah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!