Covid-19 ubah rakyat guna e-wallet

Rakyat sentiasa digalakkan untuk menggunakan e-wallet sepanjang masa bagi memastikan kegiatan perdagangan dalam negara memacu ke arah era digital.
Rakyat sentiasa digalakkan untuk menggunakan e-wallet sepanjang masa bagi memastikan kegiatan perdagangan dalam negara memacu ke arah era digital.
A
A
A

PENULARAN coronavirus (Covid-19) di negara kita sejak Mac lalu hingga hari ini tanpa diduga telah menyaksikan kebanyakan rakyat mengamalkan pembelanjaan tanpa menggunakan tunai.

Dilaporkan, penggunaan dan kebergantungan terhadap e-dagang telah meningkatkan kesedaran kepada rakyat betapa penting dan mudahnya melakukan urus niaga secara tanpa tunai.

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, kerajaan Malaysia sebelum ini telah melancarkan kempen secara giat mengenai kebaikan mengamalkan ‘budaya tanpa tunai’ ini.

“Pada Januari tahun ini, kerajaan Pakatan Harapan(PH) telah memperuntukkan RM450 juta bagi Program e-Tunai Rakyat kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperolehi pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui aplikasi e-wallet yang terlibat.

“Pada bulan Jun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan pelaksanaan rancangan e-Penjana bernilai RM750 juta dengan menyediakan nilai e-wallet sebanyak RM50 kepada kira-kira 10.5 juta rakyat di negara kita.

“Ini jelas menunjukkan, sama ada kerajaan PH ataupun Perikatan Nasional, rakyat sentiasa digalakkan untuk menggunakan e-wallet sepanjang masa bagi memastikan kegiatan perdagangan dalam negara memacu ke arah era digital,” tulis akhbar ini.

Memang tidak dinafikan, kata akhbar ini lagi, selepas negara kita dilanda Covid-19 dan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat tidak lagi dibenarkan keluar rumah dengan kerap, menyebabkan penggunaan e-wallet dan pembelian dalam talian semakin meningkat.

“Berdasarkan Kajian Impak Mastercard 2020 di Asia Tenggara, Malaysia mendahului dalam penggunaan e-wallet/digital sebanyak 40 peratus diikuti Filipina (36 peratus), Thailand (27 peratus) dan Singapura (26 peratus) di samping menyaksikan penggunaan tunai merosot 64 peratus sejak Covid-19 menular.

Artikel Berkaitan:

“Atas sokongan dan galakkan oleh kerajaan, ditambah pula kemungkinan virus Covid-19 akan terus menular dalam tempoh terdekat, adalah dipercayai jumlah penggunaan e-wallet akan meningkat dan digunakan lebih meluas,” tulis akhbar ini.

Dalam pada itu, Lidah Pengarang Oriental Daily turut mengulas isu yang sama dengan menyatakan rata-ratanya rakyat jelata telah dapat mengenali dengan lebih dekat mengenai kepentingan e-wallet dalam kehidupan mereka.

“Kini rakyat Malaysia sudah semakin bergantung kepada cara pembayaran yang selamat, bersih dan mudah seperti e-wallet ini, lebih-lebih lagi keadaan Covid-19 yang masih belum dapat menghapuskan secara sepenuhnya.

“e-wallet bukan sahaja tidak perlu membawa wang tunai, ia juga mengelakkan sentuhan badan serta tidak perlu menghabiskan masa beratur untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatic (ATM),” tulis akhbar ini.

Menurut akhbar ini, penguatkuasaan PKP sudah mengubah cara rakyat melakukan pembayaran, malahan sesetengah mereka yang sebelum ini kerap ke bank untuk melakukan pengeluaran wang kini sudah selesa dengan e-wallet mereka.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian