Majikan jangan guna alasan tak tahu, kata Perkeso

johor 2
Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
johor 2 Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor menyelar tindakan segelintir majikan yang menggunakan alasan 'tidak tahu' jika melakukan kesalahan.

Pengarahnya, Tong Sing Chuang berkata, sebagai seorang majikan, pihak tersebut seharusnya maklum mengenai apa jua tindakan terutama mengenai kebajikan para pekerja.

"Tiada alasan seperti itu, untuk mana-mana majikan atau syarikat, kita di Perkeso sentiasa mengadakan taklimat khususnya kepada majikan baharu, bahkan taklimat diadakan setiap bulan.

"Jika mereka melakukan kesalahan, tidak membuat caruman atau tidak melaporkan sebarang kejadian menimpa pekerja, ia adalah salah. Bila cakap tak tahu prosedur itu bukan jawapan yang wajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri pendakwaan dua majikan di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, hari ini.

Mengulas mengenai statistik kesalahan dilakukan sepanjang tahun lalu, sebanyak 353 majikan telah dikompaun di atas pelbagai kesalahan.

"Kompaun tertinggi membabitkan majikan di Johor Bahru mencatatkan 169 kes, diikuti Muar (53), Batu Pahat (41), Segamat (57) dan Kluang (33).

"Ia membabitkan kelewatan lapor kemalangan, lewat daftar perusahaan dan lewat daftar pekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, katanya, sebanyak 173 pendakwaan terhadap majikan dari pelbagai syarikat juga telah dilakukan sepanjang tempoh itu.

"Kebanyakan majikan melakukan tiga kesalahan besar seperti gagal melaporkan kemalangan, gagal mendaftarkan pekerja dan gagal daftarkan perusahaan.

"Selain itu kesalahan lain membabitkan kegagalan membayar Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) dan gagal mematuhi saman dikeluarkan kepada mereka," katanya.