X

Kindly register in order to view this article
!

Pak Salih dan cerita Abu Nawas

A
A

BARU-BARU ini ada seseorang menghantar e-mel kepada saya. Panggil sahaja Pak Salih, katanya. Kata beliau lagi, “saya hendak minta nombor telefon anda. Sebab senang berhubung kerana saya ada banyak cerita menarik hendak dikongsi.”

Tanpa berlengah lagi dengan semangat membawang bak kata pepatah Melayu moden zaman media sosial ini, saya terus memberi Pak Salih nombor telefon untuk beliau hubungi.

Dan dengan pantas juga Pak Salih tanpa segan silu terus menelefon saya untuk berkongsi, yang menurutnya ada banyak cerita menarik. Dan saya pula tertunggu-tunggu cerita yang menarik daripada beliau.

“Faisal ya. Ha, saya Salih, er, panggil sahaja Pak Salih. Umur saya 72 tahun, er umur awak berapa?” tanya Pak Salih dengan penuh bertenaga.

“Hmm... umur saya 46 tahun,” jawab saya tidaklah bertenaga seperti beliau.

“Oh muda lagi. Begini Faisal, saya selalu baca artikel awak. Menarik, sebab saya tengok awak ini tidak cenderung ke belah mana-mana. Nampak neutral,” kata Pak Salih pantas tanpa noktah.

“Oh ya ke?” tanya saya sambil menggaru-garu kepala.

“Betul, saya tidak suka ada orang yang nampak macam mengampu sahaja,” kata Pak Salih lagi.

“Terima kasihlah ya Pak Salih. Jangan lupa beli Sinar Harian setiap hari,” saya berkata tersipu malu bak kata pepatah Melayu lama, bagai tokak lekat di kening.

“Saya sebenarnya ada cerita nak kongsi. Dan saya ada banyak cerita. Saya suka membaca. Yang saya nak kongsi dengan awak ini cerita menarik juga,” kata Pak Salih laju seolah-olah sedang berlari.

“Ya sila kongsi,” kata saya dengan penuh ketenangan.

“Apa yang saya nak cerita ini mungkin awak tidak pernah dengar. Lagipun awak tahulah sekarang orang politik ini entah apa-apa,” kata Pak Salih kembali bersemangat tetapi tidak seperti berlari lagi.

“Entah apa-apa macam mana tu Pak Salih?” tanya saya sambil mencari-cari botol air untuk menghilangkan kering tekak.

“Yalah awak tahukan kisah menteri yang katanya telah bersidang dengan 500 negara. Entah macam mana dia kira,” kata Pak Salih sambil ketawa.

“Ya, saya ada dengar juga,” jawab saya cuba untuk mengikut gelak ketawa Pak Salih.

“Itulah yang saya lihat, mereka semua teruk,” kata Pak Salih serius.

“Er, Pak Salih kata tadi ada cerita menarik hendak kongsi?” tanya saya cuba kembali kepada perbincangan asal yang dirasakan sudah melencong jauh.

Menarik

“Ha ya memang saya ada cerita menarik untuk awak. Awak mesti dengar apa saya nak cerita. Cerita ini ada kena-mengena dengan apa yang berlaku sekarang. Sebelum itu saya nak tanya, awak undi parti mana?” tanya Pak Salih membuatkan saya berfikir, apa yang hendak beliau ceritakan sebenarnya.

“Ikut Pak Salihlah nak letak saya parti mana. Lagipun Pak Salih yang cakap tadi saya nampak tidak belah mana-mana parti,” kata saya cuba menetapkan pendirian untuk menjadi seorang yang berprinsip dan tidak melompat katak.

“Ya saya tahu. Daripada apa yang awak tulis itu saya dah tahu yang awak memang tidak belah mana-mana,” kata Pak Salih berulang lagi.

“Ok kita kembali kepada cerita yang Pak Salih nak kongsikan tadi,” kata saya cuba mengawal keadaan.

“Sabar-sabar. Saya nak tanya, awak pernah baca buku 1,001 malam?” tanya Pak Salih.

“Pernah rasanya,” saya menjawab teragak-agak.

“Pernah baca cerita Abu Nawas?” tanya Pak Salih lagi seperti sebuah rancangan uji minda.

“Hmm... pernah juga rasanya, kenapa?” tanya saya ingin tahu.

“Ha, nanti awak baca cerita Abu Nawas, ia ada kaitan dengan Kadhi. Tahu Kadhi? Memang menarik ceritanya. Lepas itu awak tulis,” kata Pak Salih terus meletakkan telefon.

“La, Pak Salih! Tadi kata nak kongsikan cerita? Ini kenapa suruh saya cari sendiri pula? Pak Salih!”

Jeritan saya yang sudah pasti tidak didengari oleh beliau. Dan mungkin selepas membaca cerita ini, beliau akan menghubungi saya semula, untuk menyambung cerita Abu Nawas. Mungkinlah.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: [email protected]


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!