KPDNHEP serbu syarikat jual alat ganti motosikal tiruan

KPDNHEP memeriksa pelbagai alat ganti motosikal tiruan di sebuah syarikat di Kepong hari ini.
KPDNHEP memeriksa pelbagai alat ganti motosikal tiruan di sebuah syarikat di Kepong hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Ibu Pejabat Putrajaya telah menyerbu sebuah syarikat yang dipercayai menjual alat ganti motosikal tiruan di Kepong hari ini.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi itu dijalankan hasil daripada maklumat dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar.

“Hasil daripada aduan itu, kita mendapati syarikat ini mendapatkan bekalan alat ganti motosikal daripada pembekal dalam dan luar negara.

"Pihak syarikat juga menggunakan kaedah penjualan secara terus kepada orang perseorangan dan membuat pemasaran secara kendiri kepada ejen-ejen pembekal alat ganti motosikal dari pelbagai tempat,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Iskandar berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas premis tersebut, pihaknya menemui pelbagai alat ganti motosikal disyaki tiruan antaranya cermin sisi, timing chain, carburetor dan clutch.

“Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM34,587.80. Kita juga telah mengambil keterangan seorang pengarah syarikat berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

“Kita memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan yang mudah.

“Orang ramai disarankan agar menyalurkan maklumat kepada pihak kementerian dengan melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir ke pejabat KPDNHEP yang berhampiran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.