Polis Sabah rampas minuman keras bernilai lebih RM2 juta

Polis Sabah merampas pelbagai jenis minuman keras dipercayai diseludup masuk ke negeri itu yang dianggarkan bernilai RM2,367,099 dalam tiga serbuan berasingan. - Foto 124RF
Polis Sabah merampas pelbagai jenis minuman keras dipercayai diseludup masuk ke negeri itu yang dianggarkan bernilai RM2,367,099 dalam tiga serbuan berasingan. - Foto 124RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah merampas pelbagai jenis minuman keras dipercayai diseludup masuk ke negeri itu yang dianggarkan bernilai RM2,367,099 dalam tiga serbuan berasingan pada 23 dan 29 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, sebanyak tujuh kontena berisi 18,320 kotak minuman keras pelbagai jenama dirampas dan tujuh individu turut ditahan untuk membantu siasatan.

Zaini berkata, dalam serbuan pertama pada 23 Jun, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menemukan tiga kontena berisi 8,040 kotak minuman keras pelbagai jenis di sebuah gudang di kilometer 27 Jalan Telipok Lama.

“Dalam serbuan itu polis menahan dua lelaki yang berperanan sebagai penjaga dan penyelia gudang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Perjudian di sini hari ini.

Dalam serbuan kedua pada 29 Jun, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menemukan 2,600 kotak minuman keras di dalam sebuah kontena yang diletakkan di kawasan lapang di Jalan Kilang Kolombong namun tiada tangkapan dibuat.

Dalam serbuan ketiga pula, polis menyerbu tapak penyimpanan kontena di Jalan Tuaran Bypass dan merampas tiga kontena berisi 7,680 kotak minuman keras pelbagai jenis serta menahan lima individu termasuk seorang wanita untuk membantu siasatan.

Menurut Zaini, minuman keras itu dipercayai diseludup masuk dari luar negara dan kesemua kes dipercayai mempunyai kaitan.

Sementara itu Zaini berkata, polis Sabah melupuskan 812 barangan elektronik berkaitan judi siber yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 di Stor Barang Kes Berpusat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua peralatan yang merupakan komponen komputer itu melibatkan 13 kertas siasatan kes judi siber kendalian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu antara tahun 2005 dan 2015.

“Katanya kesemua kertas siasatan adalah dibuka di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Kesemua barang kes ini perlu dilupuskan kerana ia tidak digunakan lagi dan pada masa tindakan kes telah diselesaikan sepenuhnya.

“Pihak IPD Kota Kinabalu mengambil inisiatif melupuskan barangan tersebut menerusi kaedah E-waste sejajar dengan prosedur seliaan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya. - Bernama