X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO kemuka permohonan hina mahkamah terhadap CIMB

Hariharan (kanan) ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO mengemukakan permohonan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Bank CIMB di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana tidak melepaskan wang berjumlah RM192 juta milik parti itu yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh berkata, ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Jun lalu yang menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk melucut hak wang berkenaan yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sekali gus, wang dalam Bank CIMB perlu dikembalikan kepada UMNO dengan segera seperti diakui Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor.

“Mahkamah juga dimaklumkan bahawa SPRM memberi jaminan bahawa CIMB boleh melepaskan wang UMNO tanpa perlu takut terdapat kesan undang-undang dari suruhanjaya berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peguam CIMB, Rabindra Nathan berkata, pihaknya tidak keberatan untuk melepaskan wang kepada UMNO, namun dimaklumkan bahawa SPRM memulakan kes di Mahkamah Rayuan berkaitan dana berkenaan.

“Pihak kami ingin menjelaskan bahawa CIMB pastinya akan melepaskan wang itu tetapi kami terperangkap antara dua pihak. Kami serba salah,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Zaini dimaklumkan pihak pemohon bahawa tiada sebab CIMB terus membekukan wang berkenaan kerana mahkamah sudah membuat keputusan untuk menolak permohonan sebelum ini.

Mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, Mohamed Zaini menasihatkan semua pihak supaya menunggu perbicaraan kes rayuan yang dijadualkan esok, selesai.

“Kita tunggu esok, saya cadang untuk tetapkan semua kes itu pada Isnin minggu depan iaitu 6 Julai ini,” katanya.

Pada 21 Jun 2019 lalu, SPRM memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang daripada 41 responden berjumlah RM270 juta yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjayanya SPRM ketika itu, Latheefa Koya berkata, permohonan melucut hak itu mengikut Seksyen 56 (1) dan Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Latheefa berkata, ia juga mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus