X

Kindly register in order to view this article
!

Ancaman H1N1: Import babi, produk dari negara berisiko dilarang

Larangan pengimportan babi dan produk babi daripada negara terjangkit dan berisiko dijangkiti Swine Influenza virus H1N1 (SIV H1N1) atau selesema babi akan diteruskan bagi mengelak penularan wabak itu di negara ini.
A
A

PUTRAJAYA - Larangan pengimportan babi dan produk babi daripada negara terjangkit dan berisiko dijangkiti Swine Influenza virus H1N1 (SIV H1N1) atau selesema babi akan diteruskan bagi mengelak penularan wabak itu di negara ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan berkata, larangan itu antara itu antara tindakan kawalan dan pencegahan yang diambil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang akan dilaksanakan pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Menurutnya, sebagai kesiapsiagaan, DVS juga telah menjalankan survelan untuk mengesan SIV H1N1 dan H1N1pdm09 pada babi komersil dan babi hutan menerusi program survelan kebangsaan.

"Penemuan survelan mendapati terdapat sampel yang seropositif kepada SIV H1N1. Bagaimanapun ternakan babi yang seropositif tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit dan tidak berisiko untuk menyebarkan jangkitan kepada manusia.

"Keputusan ujian H1N1pdm09 pula adalah negatif ke atas semua sampel," katanya.

Katanya, survelan klinikal dan pensampelan terus dijalankan di semua ladang babi komersial dan babi hutan termasuk di pintu-pintu masuk negara di mana semua sampel yang diambil akan diuji di makmal DVS.

"Kempen kesedaran awam kepada penternak babi mengenai penyakit ini juga akan dijalankan di semua negeri.

"Penternak diminta untuk mempertingkatkan biosekuriti ladang melalui tindakan pencegahan seperti tidak melawat ladang babi yang terjangkit," katanya.

Pada masa ini, industri babi di Malaysia mempunyai populasi sebanyak 1,748,547 ekor bernilai RM 5 bilion yang diternak di 614 buah ladang komersil.

Pada masa yang sama, terdapat lebih kurang 5,000 orang pekerja terlibat secara langsung di dalam industri ternakan berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!