Usah perjudi nyawa anak dalam kenderaan

Kerajaan menangguhkan pelaksanaan saman dan kompaun kerusi keselamatan kanak-kanak yang sepatutnya dimulakan pada 1 Julai.
Kerajaan menangguhkan pelaksanaan saman dan kompaun kerusi keselamatan kanak-kanak yang sepatutnya dimulakan pada 1 Julai.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Ibu bapa tidak seharusnya memperjudikan nyawa anak masing-masing walaupun penguatkuasaan saman berhubung penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang sepatutnya bermula semalam ditangguhkan.

Pakar keselamatan jalan raya daripada Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani menegaskan, kanak-kanak akan lebih selamat jika duduk di kerusi keselamatan berbanding duduk di atas riba orang dewasa.

Bahkan katanya, kanak-kanak yang tinggi mereka kurang 135 sentimeter juga tidak sesuai memakai tali pinggang keledar.

Dr Kulanthayan
Dr Kulanthayan

“Apabila kanak-kanak duduk di dalam kerusi keselamatan, mereka jauh lebih selamat daripada duduk di atas riba orang dewasa atau menggunakan tali pinggang keledar.

“Sebabnya tali pinggang keledar ini untuk orang dewasa, bukan kanak-kanak.

“Golongan kanak-kanak ini tidak seharusnya menggunakan tali pinggang keledar.

“Kalau ketinggian mereka kurang 135 sentimeter atau berat badan kurang 36 kilogram, bermaksud mereka tidak sesuai memakai tali pinggang keledar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas penangguhan penguatkuasaan sa-man dan kompaun pemakaian CRS selepas peraturan berkenaan mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu.

Tegasnya, walaupun pengeluaran saman itu ditangguhkan, penggunaan CRS wajar diteruskan kerana produk itu mampu menyelamatkan nyawa kanak-kanak andainya berlaku kemalangan jalan raya.

“Kalau setiap pengguna jalan raya melihat setiap produk keselamatan jalan raya sebagai satu kemestian, sebenarnya kita tidak perlu tunggu sama ada wujud atau tidak peraturan berkaitan.

“Ini memandangkan asas kegunaan produk keselamatan itu adalah untuk keselamatan diri sendiri, bukan sekadar memenuhi keperluan perundangan semata-mata,” kata beliau.