X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Lelaki jual pelitup muka tiruan di Facebook ditahan

KPDNHEP merampas 35 kotak yang mengandungi pelitup muka disyaki tiruan dengan menggunakan jenama Cross Protection.
A
A

PUCHONG - Taktik seorang lelaki menggunakan Facebook mengiklankan penjualan pelitup muka disyaki tiruan terbongkar selepas ditahan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah premis di sini kelmarin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, turut dirampas bersama lelaki berusia 30 tahun itu ialah 35 kotak pelitup muka dianggarkan bernilai RM1,575.

Beliau berkata, suspek disyaki membeli pelitup muka tanpa jenama dari China sebelum membuat pembungkusan semula menggunakan kotak yang tertulis jenama dari sebuah syarikat pengeluaran barangan perubatan terkenal.

"Kaedah penjualan yang digunakan ialah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang akan diposkan atau melalui perkhidmatan pembayaran tunai ketika serahan (COD) di sekitar kawasan Lembah Klang.

"Kami menyamar sebagai pembeli dan berhubung dengan penjual sehingga membawa kepada lokasi pembungkusan pelitup muka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, lelaki itu kini direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

Pihaknya memberi amaran kepada individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!