KPM bincang pemakaian semula pelitup muka di sekolah

Fadhlina (kanan) ketika mempengerusikan perbincangan khas pada Khamis
Fadhlina (kanan) ketika mempengerusikan perbincangan khas pada Khamis
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Khamis telah mengadakan perbincangan khas berkaitan isu penularan Covid-19 dan cadangan pemakaian semula pelitup muka di sekolah seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perbincangan khas tersebut bagi mencari penyelesaian terbaik demi keselamatan dan kesihatan para pelajar yang akan mula bersekolah pada minggu hadapan.

“Pagi ini mempengerusikan perbincangan khas berkait isu penularan Covid dan cadangan pemakaian pelitup muka bagi mencari penyelesaian terbaik demi keselamatan dan kesihatan anak-anak kita yang akan mula bersekolah minggu depan,” ciapnya di Twitter pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, KKM akan mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes Covid-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei.

Tambahnya, garis panduan berhubung prosedur operasi standard (SOP) membabitkan murid dan pelajar di sekolah akan dikeluarkan sebelum pelajar mereka memulakan persekolahan selepas cuti Aidilfitri.