X

Kindly register in order to view this article
!

KPT perhalusi SOP sebelum benarkan IPT beroperasi

Mansor (dua dari kiri) meninjau persekitaran kawasan Yayasan An-Nahdhoh hari ini.
A
A

PERMATANG PAUH - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang memperhalusi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum ia dibenarkan beroperasi semula tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, kebanyakan IPT di negara ini akan menerima kemasukan semula pelajar ijazah sarjana muda dan pasca siswazah mod penyelidikan di universiti awam dan swasta bermula Oktober depan.

Menurutnya, dengan penyediaan SOP lengkap yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memastikan semua aktiviti dan urusan mahasiswa dan warga universiti berjalan lancar selain terhindar daripada sebarang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Pusat pengajian tinggi di seluruh negara akan dibuka secara berperingkat dan kita sedang memurnikan SOP sebelum ia akan mula menerima kemasukan pelajar secara optimum pada Oktober nanti," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Yayasan An-Nahdhoh sempena Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)-Tahfiz hari ini.

Mansor mengisi buku tetamu ketika mengadakan lawatan kerja di Yayasan An-Nahdhoh hari ini.
Mansor mengisi buku tetamu ketika mengadakan lawatan kerja di Yayasan An-Nahdhoh hari ini.

Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, bermula esok kebanyakan universiti awam dan swasta akan menerima kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021.

Katanya, untuk proses pendaftaran itu semua pelajar baharu akan mengikut SOP yang telah ditetapkan sebelum ini dan proses itu hanya akan dijalankan melalui dalam talian.

"Buat masa ini semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sehingga hujung tahun ini dan tidak dibenarkan secara bersemuka.

"Semua IPT perlu menyesuaikan dengan normal baharu ini bukan sahaja untuk proses pendaftaran pelajar baharu malah minggu orentasi dan suai kenal perlu dilakukan dengan cara baharu bagi melawan dengan penularan wabak Covid-19," katanya.

Sebelum ini, KPT menerusi satu kenyataan memaklumkan proses kemasukan pelajar baharu universiti awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi sesi akademik 2020/2021 akan bermula seawal 1 Julai depan.

Sementara itu mengulas mengenai program TVET Tahfiz, Mansor berkata, pihaknya menyasarkan 50 pusat tahfiz di negara ini akan dijadikan pusat pembelajaran dan kemahiran meningkatkan ilmu pelajar.

Katanya, program itu bakal melengkapkan pelajar dengan dua bidang pendidikan sekali gus, iaitu tahfiz dan kemahiran agar pelajar mempunyai nilai tambah dalam mencari pekerjaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!