Armada gesa siasat buku hina Jata Negara

Haszrilhafizi (tengah) selepas membuat laporan polis di IPD Subang Jaya.
Haszrilhafizi (tengah) selepas membuat laporan polis di IPD Subang Jaya.
A
A
A

SUBANG JAYA - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis susulan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Ketua Armada Subang Jaya merangkap Exco Armada Selangor, Haszrilhafizi Mohayan berkata, pihaknya menggesa tindakan tegas diambil sekiranya benar terdapat gerakan untuk memburukkan dan menghina negara.

"Diharap pihak berwajib dapat menjalankan siasatan berhubung laporan polis ini.

"Kami mahu tahu adakah penulis, penerbit dan editor dengan sengaja atau tidak menghina logo Jata Negara melalui buku yang bertajuk Rebirth," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Polis terima 21 laporan kes hina Jata Negara

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat menurut beberapa akta termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan.

Antara kandungan laporan polis yang dibuat oleh individu dan badan bukan kerajaan (NGO) itu ialah imej yang digunakan untuk muka depan buku tersebut seolah-olah merendahkan martabat serta menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan: