Polis terima 21 laporan kes hina Jata Negara

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima 21 laporan polis yang dibuat pelbagai pihak berhubung sebuah buku yang didakwa mereka menghina Jata Negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu, pihaknya membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat menurut beberapa akta termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, beberapa individu termasuk pengarang, penerbit dan mereka yang mempunyai kaitan atau terbabit dalam penghasilan buku itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan serta membantu siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat kaedah edaran buku terbabit termasuk kemungkinan dijual dalam talian.

Hari ini, tular di media sosial sebuah buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan.

Antara kandungan laporan polis yang dibuat oleh individu dan badan bukan kerajaan (NGO) itu ialah imej yang digunakan untuk muka depan buku tersebut seolah-olah merendahkan martabat serta menghina lambang rasmi kedaulatan negara. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: KDN arah polis siasat kes ubah Jata Negara

Artikel Berkaitan:

Hina Jata Negara: Pemuda UMNO gesa KDN ambil tindakan

Siasat individu hina Jata Negara bawah Akta Hasutan