Taraf hidup petani, penternak tak banyak berubah walau diberi bantuan, subsidi

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, taraf hidup petani, nelayan, pesawah dan penternak di negara ini tidak banyak berubah berbanding dahulu biarpun telah banyak bantuan dan subsidi diberikan kepada golongan tersebut.

Salahuddin berkata, sebahagian daripada golongan tersebut masih tidak berjaya mengeluarkan diri daripada kumpulan ekonomi B40.

Dengan memetik kata-kata Perdana Menteri iaitu 'pesawah dulu miskin, sekarang pun mereka masih miskin', Salahuddin membangkitkan persoalan sama ada kementerian itu telah melaksanakan tugas mereka dengan baik.

"Persoalan yang harus ditanya dengan jujur kepada diri kita sendiri, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab dan tugas kita dengan baik untuk membantu golongan sasar yang menjadi tanggungjawab kita ini?,"katanya ketika berucap pada Majlis Amanat di kementerian itu, hari ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Salehuddin berkata, kementerian secara jujur tidak menyembunyikan fakta itu yang belum dicapai dan mengambil pendekatan untuk mendepani cabaran tersebut.

"Perkara ini merupakan fokus utama kementerian dan untuk meningkatkan produktiviti, kita akan memastikan segala bantuan, insentif dan subsidi pada masa akan datang, sampai ke golongan sasar,"katanya.

Sehubungan itu Salahuddin berkata proses pemutihan yang sedang dilakukan kementerian itu penting bagi memastikan insentif dan bantuan kerajaan itu akan sampai pada golongan yang sasar bagi mengelakkan faedah kepada pihak yang tidak sepatutnya.

"Jangan ada penipuan data menyebabkan bantuan tidak sampai kepada yang sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak zalim tapi kita mahu bantuan sampai kepada pihak sepatutnya,"ujarnya.

Pada masa sama Salahuddin berkata kementerian itu menggariskan lima halatuju bermula tahun 2019 dalam menjayakan aspirasi membawa perubahan kepada golongan petani, penternak dan peladang.

Jelas Salahuddin, halatuju tersebut dirangka dengan memberi tumpuan kepada tiga tanggungjawab hakiki kementerian itu untuk menjanin keselamatan makanan negara; membangun ekonomi luar bandar; serta mempertingkat pelaburan swasta dan perdagangan.

"Tumpuan terhadap tiga dimensi ini menjurus kepada usaha untuk melihat dan memahami semula cabaran dan permasalahan struktur yang menghalang pencapaian kejayaan agromakanan yang lebih tepat dan mapan,"ujarnya

Salahuddin berkata, lima hala tuju berkenaan iaitu untuk memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan hargamakanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan.

Seterusnya untuk merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian.

"Selain itu kementerian juga mahu menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda," katanya.

Turut digariskan adalah usaha kementerian menambahbaik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan.

Selain itu kementerian juga akan berusaha memperkukuh struktur organisasi jabatan dan agensi di bawahnya untuk menambahbaik system penyampaian serta tadbir urus.

Halatuju ini akan dihuraikan dengan lebih lanjut pada majlis pelancaran Halatuju Agromakanan Negara: Prioriti dan Strategi 2019-2020, yang bakal diadakan 14 Februari ini.