Building Lindungan perkenalkan sistem maklum balas digital

Norhadiman (kiri) menunjukkan sistem yang digunakan kepada Rahimi (tiga dari kiri) di Wisma Persekutuan Kota Bharu semalam.
Norhadiman (kiri) menunjukkan sistem yang digunakan kepada Rahimi (tiga dari kiri) di Wisma Persekutuan Kota Bharu semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Bagi memastikan maklumat kepuasan pelanggan telus, syarikat konsesi dalam pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan, Building Lindungan Sdn Bhd memperkenalkan satu sistem maklum balas kepuasan pelanggan (CSS) digital bermula 1 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norhadiman Abdul Hadi berkata, sistem tersebut bakal digunakan di 11 bangunan kerajaan Persekutuan di seluruh kawasan pantai timur.

“Kaedah tersebut digunakan untuk menggantikan cara lama dengan mengisi borang dan sebagainya. Cara baharu ini lebih menjimatkan masa dan tenaga. Kita juga yakin dengan cara ini kita dapat menepati keperluan kerajaan bagi memastikan sistem maklum balas ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Apa yang lebih penting ialah pelanggan dan penerima maklumat kami lebih berintegriti dengan sistem ini berbanding sistem lama yang masih ada ruang untuk dibuat pengolahan data dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Rahimi Ismail merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Maklumbalas Kepuasan Pelanggan Secara Digital di Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini.

Turut hadir, Naib Pengerusi Bangunan Gunasama Wisma Persekutuan Kota Bharu, Hashim Alang Abdul Hamid.

Sementara itu, Rahimi dalam sidang akhbar sama berkata, sistem ini bakal membawa pelbagai kebaikan kepada pengguna memandangkan pelanggan perlu mengisi penuh segala maklumat yang diperlukan untuk maklum balas tersebut.

“Sebelum ini kita terima banyak data tidak lengkap, jadi melalui sistem ini, laporan analisa itu lebih padat dan betul.

Artikel Berkaitan:

“Ini pertama kali dilakukan oleh syarikat konsesi dan ia merupakan inisiatif mereka sendiri. Kita akan tengok kejayaan dalam masa beberapa bulan. Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, mungkin ia boleh disyorkan kepada semua,” katanya.