Galak anak muda sertai PAM

Ahmad (tiga dari kanan) mendengar penerangan proses penghasilan sos oleh Ridzwan Hafidz (kiri) di kawasan perindustrian Halal Hub, Serkam.
Ahmad (tiga dari kanan) mendengar penerangan proses penghasilan sos oleh Ridzwan Hafidz (kiri) di kawasan perindustrian Halal Hub, Serkam.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mempergiatkan usaha untuk mencari lebih ramai golongan muda menyertai Program Agropreneur Muda (PAM) di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, penglibatan mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun itu dapat memastikan industri makanan negara terus membangun dan mampu menjana pendapatan terutama ketika negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, langkah itu juga sekali gus mampu mencapai sasaran 1,200 usahawan muda menyertai dan menerima Geran Agropreneur Muda (GAM) pada tahun ini menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta.

“Setakat ini seramai 238 usahawan muda daripada 1,200 yang disasarkan telah lulus dan berjaya dengan jumlah RM4.01 juta di seluruh negara.

“Untuk pemilihan lulus, kita buat siasatan. Bukan sahaja melihat projek yang diusahakan, kita juga melihat prestasi mereka kerana matlamat kita adalah untuk melahirkan seramai mungkin usahawan Agropreneur Muda,” katanya kepada pemberita ketika program Jelajah Agropreneur Muda di beberapa kawasan di sini kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Haslina Hamid dan Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Ahmad (dua dari kiri) melihat produk kambing sejuk beku diusahakan Azwari Che Ab Ghani (tiga dari kiri) di restorannya di Bandar Jasin Bestari.
Ahmad (dua dari kiri) melihat produk kambing sejuk beku diusahakan Azwari Che Ab Ghani (tiga dari kiri) di restorannya di Bandar Jasin Bestari.

Ahmad berkata, permohonan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan dan ramai golongan muda mengambil peluang menyertai PAM yang dilancarkan sejak empat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peluang yang disediakan kerajaan membolehkan golongan berkenaan memperkasakan perniagaan mereka, sama ada dalam sektor penternakan, pertanian, perikanan, perindustrian makanan, agropelancongan mahupun pemasaran.

“Melalui GAM, mereka dibantu termasuk dari segi bantuan barangan sehingga RM20,000 untuk projek baharu,” katanya.

Pada program tersebut, Ahmad turut menyampaikan Kit Bantuan Makanan kepada beberapa penerima, selain melawat Halal Hub Serkam, perniagaan makanan di Ansar Ternak Bandar Jasin Bestari dan Kedai Kek Zowa di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini.

Geran Agropreneur Muda bantu usahawan kembangkan perniagaan

Usahawan muda perlu merebut pelbagai geran yang disediakan kerajaan bagi membantu perniagaan mereka berkembang maju.

Pemilik Kedai Kek Zowa, Eravaizura Salleh, 35, berkata, rugi sekiranya usahawan muda mensia-siakan peluang tersebut.

“Saya bersyukur kerana permohonan Geran Agropreneur Muda (GAM) yang dibuat mendapat kelulusan sebanyak RM15,000 di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada tahun 2017.

“Dengan adanya bantuan yang diberikan dari segi peralatan seperti penyejuk, ia membantu saya menghasilkan lebih banyak produk kek dan kek tidak cepat cair,” kata ibu kepada dua anak ini.

Eravaizura yang berasal dari Sibu, Sarawak mengusahakan kek keju di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini berkata, selain bantuan peralatan, beliau turut menerima bantuan dari segi kewangan dan kursus bagi memperkasakan perniagaan yang diusahakan.

Sementara itu, pengusaha sos keju berasal dari Chin Chin, Jasin di sini, Ridzwan Hafidz Rosli, 29, berkata, melalui program GAM, beliau mampu menghasilkan sos yang lebih berkualiti melalui ilmu yang dikongsikan, selain peralatan bantuan bernilai RM15,000 pada tahun 2016 seperti mesin pengisar.

Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Eravaizura Salleh (kanan) sempena program Jelajah Agropreneur Muda di Ayer Keroh.
Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Eravaizura Salleh (kanan) sempena program Jelajah Agropreneur Muda di Ayer Keroh.

“Bantuan yang paling penting di bawah program ini adalah nasihat dan motivasi yang diberikan daripada kerajaan serta pihak Mardi.

“Jika sebelum ini saya hanya menghasilkan sos keju yang boleh bertahan dua minggu tetapi dengan bantuan GAM, saya kini mampu menghasilkan sos yang boleh bertahan sehingga lapan bulan,” katanya yang mengusahakan perniagaan di kawasan perindustrian Halal Hub dekat Serkam di sini

Pengusaha kambing bakar, Azwari Che Ab Ghani, 36, pula berkata, bantuan peralatan berjumlah RM10,000 memberi banyak manfaat kepadanya yang dahulu bekerja sebagai mekanik di Kuala Lumpur.

Menurutnya, bantuan tersebut dapat mengukuhkan dan mempelbagaikan lagi perniagaan kambing bakar beliau sehingga berjaya menghasilkan kambing bakar sejuk beku.

“Bermula dengan berniaga dari Pasar Tani FAMA, kini saya mampu meluaskan perniagaan dengan membuka restoran berasaskan kambing seperti nasi arab dan kari kambing,” katanya yang berasal dari Kelantan.